Tuesday, June 29, 2010

Maahad Al-Falah Al-Islami : Permata-permata arwah Ustaz Abdul Rahman












Seadanya sederhana... itulah apa yang terlintas di fikiran saya sebaik melangkah masuk ke sekolah pondok ini.

Sekolah Pondok Kepala Batas Maahad Al-Falah Al-Islami mempunyai murid seramai kira-kira 300 orang. Sekolah ini terdiri daripada 2 sesi iaitu sesi pagi akademik (8 pagi- 12 tengah hari) dan sesi petang (1-4 petang). Majoriti pelajarnya adalah penduduk tempatan yang mempunyai latar belakang keluarga yang menoreh getah sebagai punca rezeki.

Mudir sekolah ini bernama Haji Hasbullah. Menurut beliau, sekolah ini sudah beroperasi selama 30 tahun namun baru dianggap rasmi oleh pihak kerajaan baru 4 tahun. Sebelum ini sekolah ini hanya menekankan pengajian agama sahaja. Sekolah ini terletak di kawasan masjid. Berdasarkan sejarah sekolah ini, ianya ditubuhkan kerana ketua kampung pada masa awal penubuhannya mahu menyebarkan ilmu agama. Jadi beliau telah menjemput guru-guru agama untuk mengajar di sekolah tersebut. Semakin lama sekolah ini semakin berkembang di atas sokongan penduduk kampung.

Akhirnya beberapa tahun terakhir, penduduk kampung tidak mampu lagi menanggung kos untuk menyokong sekolah tersebut. Maka mereka terpaksa mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk meneruskan pembiayaan sekolah tersebut. Bantuan diberikan namun bersyarat, pihak sekolah perlulah menggubal semua kokurikulum sekolah dan memasukkan subjek-subjek akademik dalam kokurikulum sekolah. Guru-guru yang hendak diambil mengajar juga perlulah mempunyai kelulusan kerajaan.

Arwah Ustaz Abdul Rahman merupakan salah seorang bekas guru di sekolah ini. Selepas pemergian arwah ustaz, para pelajar mulai hilang keyakinan diri dan hidup dalam ketakutan. Ketakutan masih menyelubungi keluarga arwah ustaz yang tinggal di dalam kawasan sekolah tersebut apatah lagi rumah mereka seringkali diziarahi pihak tentera.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan arwah ustaz, pihak sekolah bercadang untuk menubuhkan sebuah maktabah yang diberi nama Abdul Rahman. Arwah ustaz merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi dalam mengajar kitab-kitab agama. Menurut bekas pelajarnya, arwah seorang guru yang pandai menarik perhatian pelajar dengan lawak jenaka menyebabkan mereka tidak mengantuk semasa belajar. Arwah pernah berkata "Mengapa kamu takut nak belajar? Sedangkan saya yang mengajar ini sepatutnya lebih takut!"

Arwah ustaz akan pergi mengajar di masjid-masjid yang mana guru-guru agama lain takut untuk mengajar. Kata arwah ustaz, sebagai pendidik walaupun takut, tetap wajib ilmu itu disampaikan. Adakalanya disebabkan takut untuk belajar, murid yang hadir cuma dua orang namun arwah ustaz akan tetap mengajar kerana bagi beliau itu adalah tanggungjawabnya.

Semoga dengan pengorbanan arwah ustaz Abd Rahman ini dapat memberi kita semua kekuatan untuk terus menghargai permata-permata yang arwah ustaz tinggalkan kepada kita- mereka itulah anak-anak murid di Maahad Al-Falah Al-Islami.

Dalam ziarah kali ini, sahabat-sahabat NGO Patani dan pihak sekolah telah meminta pihak AMANI mengadakan program-program pendidikan di sekolah tersebut. Semoga Allah mempermudahnya dan memberkati usaha tersebut.


2 comments:

İrfan Abad said...

syabas aman pattani.maaf tak dapat turut serta dalam ziarah baru2.insyallah jika ada kesempatan mungkin dapat bersama.teruskan usaha yang murni ini.semoga ALLAH sentiasa bersama kalian:)

AMANI MALAYSIA said...

irfan...

kami sentiasa menanti kehadiran anda...

:)