Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa : Ya Rabbana, limpahkanlah kami kesabaran, dan kukuhkanlah langkah kami, dan bantulah kami menghadapi orang – orang kafir. (2:250)
25 Jun 2010
Berbekalkan doa ini kami memulakan perjalanan ke selatan Thai lebih tepat lagi wilayah bergolak Fathoni bagi misi ziarah dan bantuan kemanusiaan selain membantu munirah (team penulisan amani) mendapatkan maklumat bagi tujuan penerbitan. Dari Butterworth ke Hatyai mengambil masa kira – kira 3 jam, kami tiba kira – kira jam 1200 waktu Malaysia (jam 1100 waktu tempatan) dan disambut oleh Akhi Abdullah, Kak Radhiah dan Kak Habsah. Kami berpecah untuk meneruskan lagi perjalanan ke Yala; saya, Rafiah dan Kak Wani bersama Us. Din manakala Kak Lillah dan Munirah menaiki van tiket.
Kami menuju ke pejabat HAP, Yala dan disambut mesra. Hati ini terharu dengan kesudian penggerak HAP dan Deep Peace termasuklah Chu Ya (Ketua Penggerak HAP) menerima kunjungan kami dengan besar hati dan mendengar ucapan pertama yang lahir dari mulut mereka bahawa mereka amat berterima kasih kerana sudi bersama mereka saat ini, saat mereka berjuang untuk keadilan dan membebaskan tanah air dari cengkaman kerajaan Thai.
Seusai asar, misi ziarah kami diteruskan ke rumah Kak Yati (Penggerak HAP) di Kg. Chelong menziarahi keluarganya yang baru sahaja kehilangan ahli keluarga (abang) lebih sebulan lalu (kejadian tembakan)dengan meninggalkan dua isteri dan lapan anak . Sambutan yang meriah juga diberikan dan saya hampir saja menitiskan air mata bila seorang nenek tua (jiran) menangis. Kami bertemu dengan dengan hampir seluruh ahli keluarga kak ti termasuk jiran – jiran, orang tua kak ti, isteri pertama abang, serta anak – anak dan sumbangan daripada HAP dan Muslim Aids turut disampaikan. Saya melihat keluarga ini cukup kuat berdepan ujian ini. Mereka menoreh bagi memenuhi keperluan hidup dan tanpa seorang lelaki dewasa sebagai tonggak keluarga yang besar, pastinya mereka mengalami kesukaran. Tapi kami masih dihidangkan dengan makan malam yang saya kira cukup enak sedang kami tahu mereka tidak menikmati hidangan seperti itu setiap hari.
26 jun 2010
Jam 9.00 pagi kami meneruskan perjalanan ke rumah Almarhum Sulaiman Naesa, pemuda yang dikatakan meninggal dalam kem tahanan kerana menggantung diri sedangkan bukti – bukti menunjukkan satu penafian. Kami bertemu dengan ahli keluarga beliau begitu juga ahli keluarga dua sahabat karib beliau (abdur rahman dan lukman) yang kini berhijrah menyembunyikan diri kerana dikehendaki oleh Tentera Thai. Kes ini masih dalam siasatan. Berbicara mengenai anak – anak mereka serta hidup yang mereka hadapi, saya tahu air mata mereka hampir saja menitis. Siapa yang tidak sedih melihat anak yang dikandung 9 bulan, dibesarkan menjadi pemuda taat diseksa sedemikian tanpa perikemanusiaan dan pastinya ibu – ibu sahabat baik almarhum amat merindui anak – anak mereka yang entah di mana. Keadaan rumah ini lebih dhoif tanpa bilik tetapi sama seperti di rumah kak yati, kami dihidangkan santapan tengah hari yang enak. Kalau tidak mengenang bahawa ujian mereka lebih berat daripada saya, mahu saja saya menangis semahu – mahunya di bahu salah seorang ibu pejuang ini. Saya tahu andai saya menitiskan air mata pastinya mereka akan turut serta. Sedang saat ini dada saya terasa perit mendalami derita yang ditempuh umat ini sedang mereka tetap meraikan kami.
Kami langsung ke rumah Imam Abdul Karim yang terletak di Kg keranji, Tebing untuk bertemu dengan keluarga beliau. Imam Abdul Karim telah ditembak mati 2 tahun lepas, genap 3 bulan selepas dibebaskan setelah dipenjara selama satu tahun. Sebelumnya, imam telah berhijrah menyembunyikan diri selama satu tahun kerana yakin dirinya akan diburu selepas membaca satu khutbah jumaat yang mengandungi seruan jihad. Keluarga ini memiliki pendapatan tetap. Ditanya apakah pesanan imam yang paling diingati oleh Kak Yah (isteri), beliau menjawab, “ ingatlah Allah selalu dan hanya pada Allah kita bergantung segalanya”. Dengan pesanan ini, saya dapat melihat kekuatan dalam diri kak yah sekalipun ada sendu dalam nadanya mengenang arwah suami yang pergi. Dan saya terkenang saat arwah bonda menghadapi 9 tahun detik sama yang dihadapi kak yah. Jelas, Allah segalanya kerana saban malam saya terjaga di tengah malam tetapi saat itu mata kecil saya belum mampu mentafsir air mata yang mengalir di keheningan itu. Tapi itulah kekuatan yang menjadikan saya hari ini.
kira – kira jam 3 petang, dalam perjalanan pulang kami langsung ke rumah Almarhum cikgu Abdul Aziz. Cikgu abdul aziz telah ditembak di hadapan sebuah sekolah agama berhampiran rumahnya. Beliau kebiasaannya membantu rakan – rakannya mengajar di sekolah tersebut selain kerja – kerja lain terutama apabila aktiviti sekolah diadakan. Cikgu aziz yang memiliki kecacatan di bahagian tangan sejak lahir merupakan anak yang baik dan sering mengingatkan ibunya perihal solat. Setahun sebelum peristiwa itu, ayahnya yang terlibat dengan jemaah tabligh juga telah ditembak mati. Pada hari kejadian, Almarhum cikgu sedang membantu pihak sekolah mengadakan persiapan untuk aktiviti yang akan dijalankan keesokan harinya. Setelah kejadian tersebut, pihak tentera datang ke rumah mek untuk menziarah dengan membawa sumbangan. Hati isteri dan ibu mana yang tidak parah bila anak dan suami diperlakukan seolah – olah nyawa mereka tiada harga apatah lagi permintaan untuk melihat dan membawa pulang mayat anaknya dari tempat kejadian ditolak dengan cara penipuan. Maka dengan kekuatan yang diberi Allah, mek telah menghalau pihak tentera dan langsung tidak membenarkan mereka naik ke rumah dan beliau redha denganperistiwa yang menimpa anaknya.
Ziarah kami berhenti di sini kerana jadual ke pusat pengajian alquran kanak – kanak terpaksa dibatalkan selepas semuanya keletihan.
27 Jun 2010
Pagi ini kami ke madrasah Al – Falahul Islami dimana terletaknya rumah ustaz abdur rahman atau lebih dikenali sebagai baba dalam kalangan penduduk tempatan. Almarhum baba telah ditembak mati 3 minggu yang lalu dan meninggalkan seorang isteri beserta tujuh orang anak, 2 lelaki dan 5 perempuan. Saya melihat Kak ani (isteri) masih sedang membina kekuatan atas peristiwa yang terjadi. Harapan saya penuh moga di lain waktu kami hadir ke sini, wajah kak ani akan dipenuhi dengan kekuatan untuk terus tetap pada jalan perjuangan ini dan mendidik anak – anak agar menjadi mujahid dan mujahidah, soleh wa solehah. Berbicara dengan guru – guru di sekolah ini, mereka memiliki keazaman yang tinggi untuk mendidik anak bangsa. di bumi Fathoni ini, saya temui guru – guru yang mengajar agama di sekolah – sekolah secara sukarela sedang nyawa mereka di hujung tanduk kerana krisis yang berlaku. Sistem pengajian pondok cuba dihapuskan. Anak – anak kecil seawal usia 3 tahun telah diterapkan dengan budaya bukan islam. atas kesedaran ini mereka tetap mengajar sekalipun Cuma wang saguhati yang mereka terima hasil sumbangan penduduk kampung yang rata – ratanya menorah getah kepada pihak sekolah. Saya gembira sempat membantu seorang ustaz memperbetulkan cara tulisan dalam laporan sekolah yang telah beliau sediakan. Kami solat zohor disini dan menjamu selera di sini. Syukran jazilan atas sambutan yang mesra dan meriah. Besar doa saya agar suatu hari nanti anak – anak ini dapat berkorban apa sahaja untuk memperoleh kembali Fathoni darussalam.
Kami terus ke Maahad Nahdatul Ulum Addiniah bertemu dengan pelajar – pelajar dan guru - guru disana. Sapaan mesra dan senyuman anak – anak disini menggembirakan saya kerana di tengah konflik yang berlaku Allah masih memberi kekuatan buat mereka untuk hadir ke sekolah, belajar ilmu Islam. perbincangan dengan Us. Kamaruddin Ahmad (mudir) membayangkan harapan beliau agar prestasi setiap anak muslim dapat ditingkatkan begitu juga guru – guru yang ada.
Ziarah Fathoni berakhir disini. Kami ke Sadao meninggalkan munirah untuk meneruskan misi penulisan buku. Semoga dalam lindungan Allah.
***************** sejak saya kenal bumi Fathoni berdasarkan mata pelajaran sejarah yang saya pelajari di sekolah, saya mula menyimpan azam bahawa suatu hari nanti saya akan memijak bumi ini dan sejak itu besar harapan saya agar bumi ini kembali kepada umat islam apatah lagi sewaktu di bangku sekolah menengah saya dihidangkan dengan konflik – konflik umat islam sedunia. Namun kerana azam saya untuk menjejakkan kaki ke menara gading menjadi keutamaan, saya lupa dengan janji yang pernah saya lafazkan dengan Allah menjadi saksi. Dia mentakdirkan saya menjejakkan kaki ke bumi Kelantan Serambi Makkah, dan saya melihat budaya ilmu tersebar luas sedang saya sedar saya mula jauh dari Islam. Yang wajib atas diri mungkin saya dapat lakukan sendirian sedangkan yang wajib buat ummah, saya takkan mampu bersendirian. Saat itu saya mula berdoa agar Allah tunjukkan saya jalan untuk saya tetap dalam agama ini, agar saya bisa mendekatkan diri padaNya. Maka satu persatu jalan dibuka dan akhirnya saya memenuhi janji saya dengan Allah untuk menziarah saudara Islam saya di bumi Fathoni dan saya mahu kembali lagi untuk bersama – sama mereka memperjuangkan agama Allah. Menginjak usia 22 tahun dalam masa beberapa jam lagi, inilah hadiah yang paling berharga saya peroleh dalam hidup. Ia bukan datang daripada seorang manusia tetapi dari Rabb Yang Satu. Dia menghadiahkan saya semangat jihad hingga saya sanggup mati demi sebuah keabadian. InsyaAllah Dia mempertemukan saya dengan hamba – hambanya yang terpilih untuk berdepan ujianNya juga mereka yang sanggup bersama mendepani ujianNya.
Bertemu dengan kak yati yang kematian abang, kak zurida yang pernah ditahan pihak tentera, kak na dan kak hidayah yang dituduh pengganas dan mereka yang menjadi penggerak NGO di sini, juga chu ya yang baru sahaja keluar dari tahanan. juga isteri – isteri yang kehilangan suami dan anak – anak yang kehilangan bapa kerana kekejaman dan kezaliman syaitan bertopengkan manusia. Saya akui mereka orang yang hebat. Kerana mereka hebat, ujian yang diberikannya juga adalah hebat. berbicara dengan mereka, saya sedar mereka punya semangat tinggi untuk mendapatkan keadilan, mendaulahkan islam, tetapi ilmu perjuangan perlu dipertingkatkan begitu juga diri kami yang belum cukup ilmu. Maka ini tanggungjawab kita bersama.
Besar harapan saya agar di lain kali, antara sela – sela waktu terluang, ianya bisa dimanfaatkan dengan pengenalan kepada usrah, yang kita tahu bahawa inilah cara awal Rasulullah berdakwah. Kita yang punya pengetahuan mesti memperkenalkan mereka pada gerakan2 perjuangan islam. Kak zarida dengan pengalamannya di kem tahanan, menjadikan hati saya terhiris. Kezaliman menjadikan manusia sanggup berbuat apa sahaja begitu juga bila Allah di hati, manusia akan sanggup berdepan apa saja. Bersama mereka, saya mengenal erti sebenar – benar tawakkal, redha, takwa. Tiada yang mampu menggugat iman bila manusia benar – benar takut pada Allah, tawakkal dan redha dengan ketentuan Allah.
Bertemu dengan keluarga mereka yang telah syahid mahupun yang masih menghilangkan diri, saya sedar bahawa bila Cuma ada Allah di hati, manusia takkan lagi peduli di mana kita akan mati tetapi bagaimana kita akan mati akan berlegar di fikiran. Apakah kita sanggup mengorbankan jiwa demi agama Allah? Doa saya agar mereka yang pergi dikurniakan kesyahidan dan ditempatkan roh mereka bersama orang2 yang beriman. Saya ingin menangis mengenang nasib anak2 kecil yang tidak sempat mengenal ayah mereka.
Bila kakak kak ti menceritakan bahawa anak bongsunya sering memanggil ayah dan menghulurkan tangan untuk didukung, bila Marjan berkata ayahnya kini di hospital, hati saya luluh. Yang Cuma saya mampu lakukan adalah menghadiahkan mereka sedikit kekuatan yang saya ada dengan kata semangat. Moga kunjungan kami memberi mereka azam meneruskan hidup. Anak – anak fathoni terutama yang bersekolah di sekolah – sekolah agama benar – benar memerlukan kita untuk membantu mencorakkan masa depan agar mereka kekal dalam Islam yang syumul. mereka perlu dibantu untuk penguasaan bahasa, pembinaan sahsiah dan jiwa. Kalau kita punya rezeki yang melimpah ruah, bawalah seorang dua anak – anak ini untuk melihat dunia luar.
Buat diri saya , sejenak saya terfikir. Dalam keadaan malaysia hari ini, generasi bagaimana yang saya mahu lahirkan??? Dan jawapan itu ada dalam diri saya. Semoga akan lahir generasi sehebat Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al fateh yang mencontohi peribadi Rasulullah yang Cuma allah ada di hati. Dan Dia juga mempertemukan saya dengan kak lillah, kak wani, munirah dan rafiah. Bagi saya mereka insan hebat yang Allah beri kekuatan menempuh jalan ini. Dan rafiah dalam penceritaan beliau mencari siapa sebenarnya diri ini, saya katakan padanya pesanan yang pernah arwah bonda lafazkan pada saya, “ kita tidak tahu mungkin ada antara keluarga yang terdahulu memohon pada Allah agar salah seorang daripada keturunannya menjadi orang yang sanggup bekerja demi agama, untuk Allah, maka bersyukurlah kerana kita adalah yang terpilih itu ”.
Syukran jazilan kerana sanggup berkongsi apa yang ada pada kalian denganku... inilah jalan kita iaitu perjuangan menegakkan islam, tiada jalan lain melainkan yang diredhoi Allah dan yang dimahukannya.
oleh sukarelawan AMANI - Asiah
No comments:
Post a Comment