Monday, February 1, 2010

dalam kenangan... As-Syahid Imam Awang Karim



Sudah genap setahun peristiwa Imam Awang Karim ditembak.Pada hari Jumaat, 3 Safar bersamaan 30 Januari 2009, arwah telah ditembak sebanyak empat das iaitu dua das di kepala dan dua das di dada ketika arwah sedang menaiki tangga masjid untuk melaungkan azan solat Jumaat. Penembak telah menembak dari dalam kenderaan tentera dengan hanya menurunkan cermin kenderaannya. Selepas menembak arwah, penembak tersebut telah meluru ke dalam kem tentera.

Arwah turut diberi gelaran As-Syahid memandangkan kisah hidup Imam Awang Karim merupakan episod-episod sebuah perjuangan yang tidak pernah gerun dalam menegakkan kebenaran. Imam Awang Karim merupakan pembela masyarakat Patani yang tidak pernah berputus asa. Arwah begitu gigih dalam menyampaikan kesedaran kepada rakyat Patani yang sentiasa dalam keadaan tertindas. Kegigihan arwah menyebabkan arwah tidak disenangi kerajaan Siam. Arwah pernah ditangkap dan dipenjarakan diatas tuduhan-tuduhan palsu. Namun arwah telah dibebaskan setelah berjaya dibuktikan bahawa arwah tidak bersalah dalam semua pertuduhan yang didakwa terhadap arwah.

Setelah dibebaskan, arwah masih tetap dengan pendiriannya untuk teguh dalam kebenaran. Keluarga arwah menasihati arwah supaya berhenti dalam usaha dakwahnya dan meninggalkan tanah air. Tetapi arwah masih tetap berpegang dengan keyakinannya. Kenderaan tentera telah diletakkan berhampiran rumahnya dengan harapan arwah akan takut dan meninggalkan kampung halamannya. Namun bagi arwah, beliau berada di pihak yang benar, jadi mengapa harus beliau berundur?

Inilah sebuah kisah perjuangan yang harus diteladani oleh generasi pendakwah hari ini. Berjuang bekorban demi cinta kepada Allah. Namun adakah memadai dengan hanya mengkagumi semangat juang arwah? Episod perjuangan arwah telah berakhir tetapi bagaimana pula dengan episod perjuangan kita?

No comments: