Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…
Angkatan Pemuda Pemudi Islam telah menghantar tiga orang wakil untuk menghadiri “Seminar Pengupayaan Kaum Ibu: Mangsa Musibah Ketidakadilan Bagi Kedamaian Selatan Thailand”. Program anjuran Deep South Woman Network for Peace (Deep Peace) ini berlangsung selama 4 hari bermula 12 hingga 15 februari bertempat di Education Center of South Thailand di wilayah Jala.“Dan orang-orang kafir, sebahagian mereka melindungi sebahagian yang lain.
Jika kamu tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah (saling melindungi), nescaya akan terjadi kekacauan di bumi dan kerosakan yang besar.
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad di jalan Allah,
dan orang-orang yang memberi tempat kediaman
dan memberi pertolongan (kepada orang muhajirin),
mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia”
Al-Anfal (73&74)
Objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada kaum ibu dan isteri-isteri yang kehilangan suami akibat kezaliman tentera di Selatan Thailand terutamanya dari sudut perundangan. Jumlah peserta untuk kali yang kedua ini ialah seramai 50 orang yang hadir dari seluruh Selatan Thailand merangkumi wilayah Narathiwat, Jala, Pattani dan Songkhla.
Kehadiran mereka ke tempat program ditemani dengan anak-anak kecil yang masih bayi. Namun program berjalan lancar apabila Muslimat Deep Peace dan sukarelawan HAP (Hak Asasi Perikemanusiaan) mengambil tugas menjaga anak-anak kecil untuk memastikan peserta mengikuti program dengan selesa. Kebanyakan ibu-ibu dan isteri yang hadir rata-rata mengalami masalah yang sama. Hasil perbualan kami bersama mereka, ada yang kematian suami akibat ditembak dan diseksa depan mata..tidak kurang juga hilang yang tidak diketahui status masih hidup atau meninggal dunia.
12 Februari 2010
Kami bertolak dari Sungai Nibong pada pukul 9.00 pagi dengan kenderaan awam. Tiba di Jala sekitar 5.00 petang dengan dibantu oleh 3 mahasiswa dari USM. Perkenalan singkat dengan Lutfi, pelajar Master USM induk, Hakim pelajar Sarjana Muda USM Kejuruteraan dan Bes, pelajar pertukaran bahasa ke USM banyak membantu perjalanan kami ke Jala. Alhamdulillah..
Persinggahan pertama ke Masjid Jamek Jala. Solat jama’ ta’khir dan rehat hampir setengah jam. Kemudian kami dibawa oleh Huda ke tempat transit peserta sebelum ke Education Center of South Thailand. Sampai di tempat pogram sekitar 6.30 petang waktu Malaysia menaiki Hilux bersama-sama dengan peserta hampir sepuluh orang. Fenomena biasa berkenderaan begitu di sana.
Malam pertama program sesi taaruf dan taklimat program bermula. Kebanyakan peserta datang dari daerah Narathiwat. Jelas kelihatan wajah-wajah ibu yang merindui bapa kepada anak-anak mereka yang masih kecil. Jelas kelihatan wajah-wajah isteri yang muda belia mengharapkan kehidupan normal semula. Sesi taaruf agak perlahan. Mungkin masih di awal perkenalan..yang pasti setiap daripada mereka menyimpan cerita yang memilukan. Ada yang mengusung ke sana- sini gambar suami dan anak yang terkorban dan hilang. Ada yang termenung di sudut yang agak jauh. Ada yang menjamah makanan sekadar memenuhi ajakan. Urusetia bijak menghidupkan keadaan. Dengan jenaka-jenaka yang tidak difahami, ibu-ibu dan isteri-isteri bergelak ketawa.
Malam berlalu semudah itu sahaja. Sekadar mengenal rakan dan mengenal perihal yang bakal berlaku esok hari. Peserta pulang ke tempat penginapan. Kami masih berada di dewan. Melepaskan rindu dan berbual panjang dengan aktivis-aktivis di sana.
13 Februari 2010
Pagi yang tenang di Jala. Sesekali kelibat tentera meragut senyum si ibu. Program tetap diteruskan. Setelah sarapan, pengisian berbentuk penerangan oleh Ketua Peguam Muslim Selatan Thai berlangsung. Kami difahamkan, peserta didedahkan dengan cara-cara untuk mengambil tindakan undang-undang apabila berlaku sesuatu kes. Penerangan yang berselang-seli dengan bahasa Melayu dialek Pattani mencuri tumpuan peserta. Riak wajah peserta menunjukkan mereka memerlukan informasi sebegitu.
Pada sebelah petang setelah makan tengahari, LDK bermula. Peserta dikehendaki untuk berada dalam kumpulan dan membentangkan masalah yang berlaku pada diri masing-masing. Selesai perbincangan, sesi pembentangan bermula. Banyak gelak ketawa, namun banyak juga air mata yang tumpah. Kadang-kadang pembentangan terhenti seketika apabila si ibu tidak mampu menahan sebak menyeka air mata. Peserta yang lain tunduk. Kami di belakang hanya melihat..sesekali laju menangis mengalahkan mangsa. Para pemuda dari HAP turut serta. Mereka menguatkan keadaan. Sesekali Pok Su berpaling ke belakang menghadap dinding. Tangan diangkat menyapu muka. Tahulah kami air mata mereka turut mengalir…Syabab Mujahidin yang tabah.
Kami mengundur diri seketika dari program apabila diajak oleh Ustaz Kamarudin ke bendang garam di Pattani. Pulang daripada bendang garam, kami singgah solat di masjid Krue se.
Waktu asar kami tiba semula ke tempat program. Program masih berjalan. Pembentangan habis. Resolusinya peserta harus tahu prosedur undang-undang apabila berlaku sesuatu kes. Apa yang menarik perhatian, ibu-ibu dan isteri-isteri yang suaminya masih hilang dan dipenjarakan begitu tegas menyuarakan pendirian bahawa mereka akan terus menunggu sehingga suami dibebaskan.
Malam yang menarik. Peserta dihiburkan dengan permainan yang meyeronokkan.GUNI BESAR..peserta dikehendaki menyebut nama setiap seorang. Lucu apabila hanya suku kata belakang yang diingat. Hasilnya namaku hanya tinggal ‘na’, Asti jadi ‘Yuti’..mereka semakin rapat. Kesempatan ini dambil untuk berbual dengan lebih mesra. Di kananku, Mak cik Munah, di kiri Kak Midah. Mak Cik Munah, suaminya berusia 80 tahun dan masih dipenjara. Rancak bercerita tentang kisahnya. Tanpa sedar Mak Cik Munah menitiskan air mata. Ingat pesan Kak Wahed, jangan menangis..gagal la Kak Wahed huhu…
Permainan tamat. Program diteruskan dengan tayangan video yang berkisarkan kejadian-kejadian yang berlaku di Selatan Thai. Lebih kepada sesi muhasabah. Tayangan hampir 10 minit. Selesai tayangan, moderator meminta wakil-wakil untuk refleksi semula tentang video yang telah ditayangkan. Pelbagai isi dilontarkan, pokoknya peserta saling berpesan agar tabahkan diri, gantungkan sepenuh pengharapan kepada Allah, bersatu dan bangun bertindak membela nasib saudara yang lain. Rushda menamatkan sesi refleksi dengan situasi yang paling hiba. Suasana diam seketika. Rushda meneruskan slotnya sehingga tamat sekitar pukul 11.00 malam.
Selesai sesi Rushda, wakil-wakil dijemput menyampaikan nasyid. Keadaan kembali ceria. Tapi agak merisaukan kerana wakil dari Malaysia hanya 4 orang. Kami gagahi juga menyampaikan lagu Teman Sejati. Kata Kak Wahed, kalau tak sedap..senyum je yer..maka ramailah tersenyum-senyum menahan gelak.
Selesai persembahan dan program malam tersebut, kami mengambil masa untuk berbual dengan Presiden HAP..mesra dengan panggilan Choo ya. Choo Ya mengajak kami untuk menyertai kem musim panas anjuran HAP sekitar bulan april hingga Mei nanti. Jika ada yang berkesempatan, mahu membantu gerak kerja mereka, anda dialu-alukan.
Pulang dari program menuju ke asrama. Malam terakhir kami di bilik yang dihuni lebih kurang 20 peserta itu agak riuh. Dengan tangisan anak-anak. Kami mengambil peluang berbual dengan setiap orang daripada mereka. Ada yang menunjukkan gambar suami, ada yang bercerita duka mereka menghadapi kehilangan suami, ada yang bertukar-tukar alamat, ada yang ‘supper’ makanan ringan..
Perbualan kami agak panjang dengan Kak Zah dan Kak Zakiah. Suami Kak Zakiah masih di penjara tanpa alasan yang munasabah. Membawa anak kecil yang sangat comel bernama Nur Kautsar Fatin. Begitu juga Kak Zah, suami dipenjara, kematian adik lelaki dan sepupu lelaki akibat ditembak. Adik lelaki mati ditembak, jenazahnya disepak dan diseksa oleh tentera di karangan masjid, sepupu yang ditangkap tentera dibawa menyaksikan penyeksaan tersebut, menunjukkan reaksi tidak sanggup melihat jenazah diseksa begitu, beliau melawan dan diseksa sehingga mati di tempat kejadian. Seluruh kampung dikejutkan dengan tembakan yang bertalu-bertalu pada masa itu memberi isyarat agar orang kampung tidak melawan. Menurut Kak Zah, malam itu, seluruh orang kampung ketakutan dan bertaburan. Ada yang memanjat pokok. Ada yang sembunyi di dalam longkang. Kak Zah sendiri sembunyi di pohon serai. Ayah dan Ibu membawa diri ke Malaysia. Hanya menatap wajah kedua orang tua dua tahun sekali. Ayahnya imam, suaminya ustaz, ayah mertuanya imam. Pada masa imam menjadi sasaran pembunuhan tentera, ayah mertuanya dibunuh. Suami dipenjara. Ayah melarikan diri ke Malaysia. Kak Zah tenang menutur cerita. Namun jelas di wajahnya terpancar kesedihan yang amat sangat apabila keluarga yang dahulunya lengkap sempurna, sekarang hanya tinggal Kak Zah sebatang kara..MasyaAllah..
14 Februari 2010
Hari terakhir kami di Jala. Sarapan bersama peserta. Bersalam-salaman, berpeluk-pelukan tanda kasih dan sayang saudara sesama Islam. Bergambar kenangan. Usai sarapan kami bergerak pulang. Dihantar oleh Kak Hani ke stesen bas Jala di awal pagi agar tidak terlewat menghadiri program LANDAS hari kekasih di Butterworth. Che’loh, Pok Su dan Sufian menunggu di sana. Tambang pulang dibayar oleh Che’ Loh. Begitu istimewa sekali layanan yang diberikan. Walaupun mereka dalam kesusahan, namun masih mahu memberikan yang terbaik untuk tetamu dari Malaysia.
Sekian..
“ Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam dengan mengunakan segala yang ada padanya daripada harta-benda, jiwa-raga, pena dan lidah, maka ia tanpa ragu lagi tergolong dalam orang yang berjihad di jalan Allah dengan pengertian Jihad yang umum.
Akan tetapi kalimah jihad ini juga diungkapkan untuk pengertian jihad yang khusus iaitu peperangan yang khusus iaitu peperangan yang dilakukan oleh kaum muslimin untuk menentang musuh-musuh Islam kerana mengharapkan semata-mata keredhaan Allah tanpa ada sedikit pun tujuan duniawi”
Sayyid Abul-‘Ala al-Maududi.
Nukilan dari Qalbu
Siti Rohana bt Che Itnain
18 Feb 2010
No comments:
Post a Comment