Sunday, May 30, 2010

Taburkan Jasa Semaikan Budi


kematian tahanan di Kem Ingkhayutabarihan M.Bothong D.Nongcik W.Pattani

30 Mei 2010, Ahad – Para sukarelawan AMANI dikejutkan dengan berita kematian seorang tahanan dari Kem Ingkhayutabarihan M.Bothong D.Nongcik W.Pattani. Sukarelawan AMANI yang sedang bersiap sedia untuk pulang ke Malaysia selepas mengadakan Bengkel Pendidikan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Pondok Haji Harun, Yala telah segera ke kem tahanan tersebut.

Sulaiman Naesa, 25 tahun telah ditangkap pada 22 Mei 2010. Menurut kenalan arwah, pada jam 9 pagi 30 Mei, keluarga arwah telah menerima panggilan dari kem tahanan yang memaklumkan kematian arwah adalah disebabkan membunuh diri. Arwah dikatakan telah menggantung dirinya dengan tuala hingga mati. Pihak keluarga arwah kemudiannya segera memaklumkan hal tersebut kepada NGO tempatan untuk menjadi saksi dalam siasatan kes kematian Sulaiman.

Arwah merupakan seorang tukang rumah yang juga merupakan anak sulung dalam keluarganya. Pihak keluarga arwah telah datang ke kem tahanan pada 27 dan 28 Mei tetapi tidak dibenarkan untuk menemui Sulaiman. Pada 29 Mei pula, Sulaiman dibenarkan menemui keluarganya tetapi Sulaiman tidak bercakap apa-apa. Wajah Sulaiman kelihatan sangat letih dan ketakutan.




Keluarga Sulaiman berkata, mayat Sulaiman telah digantung di bahagian leher dengan tuala di jendela. Terdapat banyak kesan luka di seluruh badan arwah. Di bahagian leher, dada dan perut arwah pula terdapat kesan dicucuk dengan jarum. Bapa arwah meminta pihak kem tahanan memberi bukti yang kukuh berhubung kematian anaknya memandangkan tiada bukti kukuh Sulaiman mati disebabkan bunuh diri.

Friday, May 28, 2010

Bengkel Pendidikan dan Pembangunan Jiwa 27-28 Mei 2010






Pada 27 Mei 2010, seramai 9 orang sukarelawan beserta seorang penasihat AMANI telah turun ke Ma'had Al-Bi'that Ad-Diniah yang turut dikenali sebagai Pondok Haji Harun untuk mengadakan Bengkel Pendidikan dan Pembangunan Jiwa. Program bertujuan untuk menarik minat para pelajar terhadap Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu serta menganalisa tahap penguasaan bahasa mereka supaya modul-modul pendidikan dapat dihasilkan untuk sesi akan datang. Program ini melibatkan lebih kurang 60 orang pelajar yang berumur di antara 12 tahun hingga 17 tahun. Modul program merangkumi analisis kemahiran bertutur,mendengar dan menulis.

Para sukarelawan tiba di Yala pada pukul 2.30 petang dan disambut oleh Panitia Bahasa Inggeris. Modul asal program telah diubahsuai selepas perbincangan dilakukan bersama pihak sekolah. Program dimulakan pada 27 Mei 2010, selepas isyak dengan sesi suai kenal.

Pada 28 Mei 2010, pelbagai program telah diadakan termasuklah drama, choral speaking dan nasyid. Melalui program ini, kami mendapati perlunya ada usaha berterusan bagi membantu meningkatkan keyakinan para pelajar untuk berkomunikasi dengan baik. Kami dapat merasakan bahawa para pelajar ini mempunyai potensi untuk menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik seandainya mereka diberi peluang untuk belajar dengan baik. Di sinilah terletaknya tanggungjawab kita selaku jiran terdekat mereka untuk membantu dalam pembangunan pendidikan anak-anak Patani. Program ditutup pada pukul 5 petang oleh Ustaz Salahuddin iaitu salah seorang lembaga pengarah sekolah.

Monday, May 24, 2010

ziarah mangsa konflik pada 18 Mei -19 Mei 2010

sumber utama : Yati, Hak Asasi Perikemanusiaan (HAP)

Pada 18 Mei 2010, sebuah NGO Patani iaitu Hak Asasi Perikemanusiaan (HAP) telah menganjurkan sebuah program iaitu ‘Kursus Menuju Kedamaian’ dan Ziarah Kampung Kucing Lepas. Tujuan utama program adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan hak mereka dalam undang-undang. Pendedahan ini amat penting memandangkan kebanyakkan masyarakat berada dalam ketakutan kerana mereka tidak tahu hak-hak mereka menyebabkan hak mereka dicabuli sesuka hati. Program tersebut turut disertai oleh sukarelawan daripada NGO lain iaitu JAST PEACE dan YAKIS. Alhamdulillah, program ini dihadiri oleh 100 orang peserta.








Thursday, May 20, 2010

Pertempuran di Kampung Slow

KAMPUNG SLOW, 19 Mei 2010 - Seramai 300 orang askar telah bertempur dengan 6 orang kampung selama 7 jam bermula dari 11 pagi hingga 6 petang. Dua orang kampung telah meninggal iaitu Ibrahim Semae (26 tahun) dan Abdi Jeeyerae (umur 28 tahun).

Arwah Ibrahim Semae meninggalkan seorang isteri iaitu Rohimah Semae (23 tahun) manakala arwah Abdi Jeeyerae meninggalkan seorang isteri iaitu Sakiroh Sixutae (31 tahun) dan seorang anak Mustakin Jeeyerae (4 tahun).















sumber : Chooya dari Hak Asasi Perikemanusiaan (HAP)