Sunday, October 10, 2010

Takbai : Tentera tidak bersalah


Tajuk : Tentera Thai tidak bersalah
Sumber : Utusan Malaysia Online
Tarikh :30 Mei 2009
Link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

SONGKHLA 29 Mei - Hampir lima tahun selepas insiden Tak Bai yang mengakibatkan kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam dan dilihat sebagai satu daripada pencetus konflik di Selatan Thai, sebuah mahkamah Thai hari ini memutuskan bahawa tiada sebarang salah laku di pihak pegawai keselamatan.

Panel dua anggota dalam inkues post-mortem membuat kesimpulan bahawa pegawai tentera dan polis bertindak mengikut undang-undang, menggunakan pertimbangan mereka untuk menangani keadaan yang mendesak dan melakukan yang terbaik berdasarkan situasi ketika itu.

Hakim Yingyut Tanor-Rachin, yang bersidang bersama Hakim Jutarath Santisevee, berkata para pegawai hanya menjalankan tugas mereka dan mempunyai alasan kukuh bagi mengangkut lebih 1,000 penunjuk perasaan yang ditahan dari Tak Bai di sempadan Thai-Malaysia ke Kem Tentera Ingkayuthaborihaan di Pattani pada 25 Oktober, 2004.

Insiden itu berlaku ketika lebih 1,500 orang menyertai tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan kerana disyaki membuat laporan palsu kepada polis membabitkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Polis menggunakan semburan air dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, manakala peluru hidup ditembak ke udara dan ke arah orang ramai bagi menyuraikan tunjuk perasan itu yang mengakibatkan tujuh orang terbunuh.

Kira-kira 1,292 orang ditahan oleh pihak berkuasa. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC), mereka yang ditahan itu dipukul dengan belantan, ditendang dan ditumbuk, ada antaranya diperlakukan begitu semasa terbaring di atas tanah dengan tangan diikat ke belakang.

Tahanan itu kemudiannya dimuatkan ke dalam trak serta diletak bertindih-tindih sebelum dipindahkan ke Kem Ingkayuthaborihaan, dalam perjalanan yang mengambil masa beberapa jam. Sejumlah 78 orang ditemui mati dalam trak itu dalam kejadian yang berlaku dalam bulan Ramadan.

Banyak pertubuhan tempatan dan badan hak asasi manusia menyalahkan peningkatan keganasan dalam insiden Tak Bai, selain insiden yang berlaku pada April 2004, apabila 32 kumpulan disyaki pemberontak terbunuh selepas pihak berkuasa menyerbu masjid Krue Se yang berusia 300 tahun di Pattani berikutan perbalahan selama sembilan jam.

Ketika membacakan keputusan itu di Mahkamah Wilayah Songkhla yang penuh sesak, Hakim Yingyut berkata, pegawai keselamatan terpaksa mengambil tindakan pantas untuk memindahkan tahanan dalam keadaan seperti itu ke Pattani atas sebab keselamatan memandangkan lokasi tunjuk perasaan itu tidak jauh dari Thaksin Ratchaniwet Palace dan sempadan Malaysia.

Keputusan itu sukar diterima oleh kalangan keluarga mangsa yang melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer untuk ke mahkamah.

Zainah Saleme, yang menubuhkan sebuah kumpulan wanita bagi memperjuangkan keadilan untuk mangsa Tak Bai berkata, beliau berasa amat kecewa dengan keputusan itu.

"Tak timbang langsung keadaan mangsa, perasaan keluarga. Mahkamah kata mereka (78) mati bukan kena bedil... tapi mereka diletak bertindih-tindih. Langsung tidak fikir nyawa mereka," kata Zainah yang anak lelakinya ditahan dua tahun kerana terlibat dalam demonstrasi itu.

Hamiah Ahmad, 53, berkata, beliau amat sedih kerana tidak langsung ada keadilan pada mangsa-mangsa dan keluarga mereka yang terpaksa berulang-alik ke mahkamah sejak kes itu bermula beberapa tahun lepas.

"Anak saya kebetulan berada di situ tetapi terkena tembakan dan mati," kata Hamiah yang mendapat upah membuat tudung untuk dijual di Malaysia dan mendapat pampasan RM2,000 (20,000 baht) daripada kerajaan.

Muhammad Hassan, 50, yang kehilangan satu-satunya anak lelaki beliau yang meninggal dunia selepas diletak bertindih-tindih dalam lori, berkata beliau terkejut dengan keputusan itu.

"Anak saya bekerja baiki rumah dan memang selalu keluar kampung... saya langsung tidak tahu dia pergi Tak Bai. Apabila dia tidak pulang untuk berbuka puasa dan melihat di televisyen tentang Tak Bai, kami pergi ke balai polis untuk cari dia," katanya.

Kerajaan Thai sebelum ini yang dipimpin Perdana Menteri yang dilantik oleh tentera, Surayud Chulanont membayar pampasan berjumlah 42 juta baht (RM4.2 juta) kepada anggota keluarga mangsa Tak Bai, menggugurkan pertuduhan terhadap 56 orang yang terbabit dalam tunjuk perasaan itu dan memohon maaf kerana tragedi yang berlaku itu. - Bernama

No comments: