Tajuk : Parut Luka Tragedi Takbai
Sumber : Berita Harian Online
Tarikh : 20 September 2010
HAMPIR 30,000 anggota tentera diberi tanggungjawab untuk menjaga keamanan wilayah selatan Thailand.
PEKAN Narathiwat nampak tenang semasa rombongan 14 wartawan Asia berkunjung ke kawasan berkenaan dua minggu yang lepas.
Gambaran siri letupan dan keganasan yang bermain di minda para wartawan digantikan dengan senario sebenar penduduk Islam menjalankan kegiatan harian seperti biasa – kanak-kanak ke sekolah dan masjid dipenuhi dengan kariah setempat.
Rasa bimbang wartawan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam, India, Pakistan dan Bangladesh terus hilang apabila kumpulan itu bebas berjalan dan menikmati makanan di pekan Narathiwat selain berbual dengan penduduk setempat untuk mendapat tahu keadaan sebenar.
Bagaimanapun, keamanan itu nampaknya tidak bertahan lama. Hanya beberapa selepas itu atau lebih tepat lagi tidak sebelum Aidilfitri menjelma berlaku serangan yang membawa kematian orang awam sekali gus menjejaskan pendekatan mesra rakyat yang diambil pihak pemerintah Thailand untuk membawa keamanan.
Membangunkan sosio-ekonomi
Sejak setahun lepas, kerajaan Thailand telah merangka pelbagai program untuk membangunkan kedudukan sosio-ekonomi penduduk wilayah selatan.
Antaranya, kerajaan memperkenalkan program ekonomi seperti mewujudkan perkampungan tani bagi membolehkan penduduk setempat memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Penduduk kampung itu diberi tunjuk ajar oleh pihak tentera bagaimana untuk menjadi penternak, menanam sayur selain terdapat tempat rawatan ketagihan dadah di perkampungan berkenaan.
TRAGEDI Tak Bai yang mengorbankan 60 rakyat tempatan masih berbekas di hati penduduk Selatan Thailand.
Pendekatan soft power itu tambah jelas apabila rawatan pergigian percuma turut ditawarkan di klinik yang dibuka tidak jauh dari perkampungan tani itu.
Perkampungan tani seperti itu diwujudkan di tiga wilayah bergolak iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala supaya penduduk lebih percaya terhadap pemerintah, yang berjanji untuk membantu membangunkan wilayah berkenaan.
Ketua Turus Tentera Divisyen Pertama Pengawal Diraja Thailand, Kolonel Songwit Noonpakdee berkata, program-program bantuan kerajaan itu adalah supaya penduduk dapat memahami dan mempercayai anggota tentera yang berada di situ.
Kira-kira 30,000 anggota tentera melakukan tugas meronda, memantau dan menjaga keamanan selain terbabit dalam program tajaan kerajaan itu, katanya.
Hasilnya, kes keganasan yang berlaku sejak enam tahun lepas berkurangan.
Pada tahun 2004, sebanyak 1,700 kejadian keganasan dicatat dan meningkat kepada 2,100 pada tahun 2005 dan 2006 sebelum menurun kepada 800 kes pada tahun lepas. Pada tahun ini sehingga Jun lepas, hanya 500 kes dicatatkan.
Songwit berkata, peruntukan kerajaan kepada wilayah selatan Thai sebanyak 63 bilion baht (RM60.3 juta) bagi membangunkan ekonomi penduduk juga menjadi faktor dalam mengurangkan lagi keganasan.
Ini turut diakui Imam Masjid Jumiah, Hussain Azam Tarip, yang berkata, peruntukan kerajaan itu yang turut termasuk dalam bidang pendidikan akan menghasilkan lebih ramai graduan Islam.
Namun, disebalik kebaikan dan pendekatan mesra rakyat tersebut imam itu tidak mampu untuk menepis keraguan yang terdetik di hatinya.
Menuntut keadiilan
Hussain berkata, penduduk Islam belum melupakan tragedi Tak Bai apabila 60 rakyat tempatan mati dalam semasa tahanan tentera.
Adakah penduduk masih menyimpan dendam atau curiga dengan kerajaan? Beliau berkata: Keluarga dan adik-beradik mangsa mungkin ada yang mahu menuntut bela.
Kebanyakan orang jika kamu tanya, kepercayaan kepada kerajaan gitu-gitu saja. Mereka takut juga…lain di mulut lain di hati, katanya menjelaskan keadaan di selatan Thailand khususnya di Tak Bai.
PENDUDUK Islam di wilayah tersebut masih menyambut lebaran seperti biasa dengan menunaikan sembahyang hari raya.
Beliau berkata, penduduk bukan mahu memisahkan tiga wilayah berkenaan daripada kerajaan Thai, namun hanya menuntut keadilan daripada pemerintah.
Daripada kaji selidik yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri terhadap penduduk di sini, lebih 80 peratus kata tidak mahu berpisah dengan Thailand, katanya.
Apa yang penting, pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva perlu menunjukkan ketelusan dalam menjayakan program-program pembangunan di wilayah berkenaan. Bernama
kredit : kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment