6 DISEMBER 2006: Konflik di wilayah Selatan Selatan sering kita baca, muncul di dada-dada akhbar. Peristiwa pengeboman, pembunuhan yang berlaku hampir setiap hari adalah bukti nyata kemarahan dan rasa kekecewaan masih menyala di hati rakyat. Sekolah dibakar, insan tidak berdosa menjadi mangsa peluru yang tidak mengenal siapa sasarannya. Tidak hairanlah sekiranya bila ditanya khususnya rakyat Thailand dari kawasan Selatan yang melawat Malaysia tentang insiden pembunuhan yang kerap kita baca, mereka akan menjawab itu adalah perkara biasa. Persoalannya sampai bila perkara ini akan terus berlaku? Bilakah keamanan akan muncul? Hingga kini, General Sonthi Boonyaratglin dan pemimpin kerajaan sementara, Surayud Chulanont dilihat telah cuba mengendurkan keadaan tegang yang sedia wujud di kawasan Selatan tersebut. Ia merupakan tindakan yang pastinya dialu-alukan oleh masyarakat bukan setakat di Thailand tetapi di negara-negara jiran (yang majoritinya juga dari kalangan masyarakat Islam). | |
Ini dibuktikan dengan berbagai inisiatif baru yang secara asasnya menawarkan pendekatan lebih lembut untuk mengatasi konflik yang telah berterusan sejak lebih 200 tahun lalu di kawasan Selatan negara itu. Antara yang sedang diusahakan ialah dengan menarik kembali undang-undang tentera yang diwartakan di sebahagian besar wilayah iaitu 41 (dari 71 wilayah) diseluruh Thailand setelah kejatuhan Thaksin. Manakala di kawasan Selatan yang bergolak undang-undang masih kekal buat sementara waktu. Setelah memegang tampuk kuasa, kerajaan baru pimpinan Surayud menjanjikan pendekatan yang lebih lembut untuk menangani konflik melibatkan masyarakat di wilayah majoritinya penduduk Islam seperti Pattani, Yala dan Songkhla. Ia dimanifestasikan dengan antaranya usaha menghidupkan semula Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan (SBPAC), pelantikan Gabenor Baru Yala, Teera Mintrasak yang beragama Islam dan kesudian memberikan penyataan maaf secara terbuka oleh Surayud Chulanont di atas tindakan keras pihak kerajaan dalam beberapa insiden yang berlaku sebelum ini. | |
Pendekatan ini pastinya berbeza dengan Thaksin, sewaktu menjadi Perdana Menteri Thailand yang menolak kaedah lembut dalam menghadapi kekacauan politik di sana. Pada awal tahun 2006, Thaksin sendiri telah memberikan kuasa penuh kepada General Sonthi, Komander Angkatan Tentera yang dilantik ketika itu untuk menggunakan kuasa ketenteraan bagi menangani kekacauan yang berlaku, tetapi tidak dipersetujui Sonthi. Sebenarnya pertukaran kerajaan yang berlaku ke atas negara Thailand, ada baik dan buruknya. | |
Dari satu aspek, ia menyaksikan kerajaan yang berasaskan sistem demokrasi telah dikuburkan. Manakala, dari aspek lain, perubahan tersebut memberi nafas baru dan harapan kepada rakyat yang ingin melihat angin perubahan dalam senario politik Thailand yang sekian lama telah menggugat ketenteraman hidup mereka. Tapi apakah ada jaminan bahawa konflik akan berakhir dengan pembentukan kerajaan baru ini? William Zartman, seorang Professor dan Pengarah Program Pengurusan Konflik dari Johns Hopkins University menggunakan Ripeness theory untuk menghuraikan bagaimana sesuatu konflik yang kritikal boleh mencapai penyelesaian samada secara sendiri atau melibatkan campurtangan pihak ketiga (third party intervention). | |
Berasaskan kajian Zartman, pihak yang berkonflik hanya akan mencari jalan setelah mendapati konflik mengalami kebuntuan yang menyakitkan, dan sedar bahawa sekiranya konflik tersebut berterusan, ia akan memusnahkan kedua-dua pihak. Kesedaran yang bersifat seperti inilah yang akan mengubah persepsi dan tingkahlaku pihak berkonflik dan seterusnya memilih untuk menyelesaikannya secara aman. Ini adalah merupakan titik perbezaan di antara pentadbiran kerajaan sementara sekarang dan kerajaan terdahulu pimpinan Thaksin khususnya. Dalam era Thaksin, kegagalan memahami senario sebenar masalah telah menjadi punca sebenar masalah dan mengakibatkan merebaknya konflik. Keganasan yang berterusan menunjukkan kedua-dua pihak menyimpan persepsi yang negatif antara satu sama lain. Konflik yang berlaku adalah manifestasi keadaan yang wujud antara pihak berkonflik samada kerajaan atau golongan yang dianggap sebagai penentang. |
Peristiwa berdarah di Selatan Thailand khususnya dalam era Thaksin pada dasarnya adalah berkait rapat dengan polisi yang diamalkan oleh pentadbiran Thaksin yang dilihat selari dengan gelombang ˜War Against Terrorism™ “ciptaan Amerika Syarikat. Sejak memegang tampuk pentadbiran pada 2001, beliau bertindak menghentikan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), yang menjadi pengantara komuniti tempatan dan pihak kerajaan. Beliau juga bertindak menghapuskan Task Force yang menggabungkan masyarakat awam, tentera dan polis yang sebelum ini bertanggungjawab memberikan maklumat dan komunikasi dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh, suatu cubaan untuk mengurangkan pengaruh rangkaian masyarakat tempatan ke atas kerajaan yang akhirnya mendorong kepada keganasan sejak Januari 2004. |
Manakala sejak Undang-Undang Tentera (Martial law) yang mula dilaksanakan di Pattani, Yala dan Narathiwat dari Januari 2004, keganasan politik terus menunjukkan peningkatan. Menggunakan tindakan keras untuk menghapuskan kekacauan politik di wilayah Selatan bukanlah pilihan yang bijak. Hakikatnya yang menjadi mangsa ialah masyarakat di Selatan yang terseret ke dalam kancah kekacauan politik yang telah meragut nyawa lebih 1700 orang sejak tiga atau empat tahun lepas. |
Peristiwa Tragedi Takbai pula masih ditangisi oleh masyarakat khususnya ahli keluarga kepada lebih 80 orang penunjuk perasaan yang mati kelemasan setelah disumbat di dalam trak secara beramai-ramai oleh pihak keselamatan Thailand. Malah, kejadian-kejadian seperti pembunuhan ke atas polis, tentera, sami-sami, guru dan masyarakat awam Buddha berlaku saban hari. Walaupun ada berbagai sumber untuk menjelaskan siapa di belakang setiap kejadian, umumnya ia adalah campuran dari pelbagai faktor. Lebih malang lagi, cadangan untuk penyelesaian konflik di Selatan yang dikemukakan oleh National Reconciliation Commission (NRC) antaranya dengan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa dialek di tiga wilayah Selatan telah ditolak oleh kerajaan. Ini membuktikan bahawa tiada kesediaan yang jitu untuk membolehkan konflik diselesaikan secara aman. |
Laporan yang dikeluarkan oleh International Crisis Group hanyalah menguatkan lagi hujah di atas. Laporan tersebut menghuraikan banyak kesilapan besar yang dilakukan oleh kerajaan Thaksin dalam menguruskan kekacauan di Selatan. Ini termasuklah kegagalan mendiagnose masalah dengan tepat, penggunaan kekerasan yang melampau, kegagalan menyiasat dan menghukum anggota keselamatan yang menyalahgunakan kuasa, melantik kakitangan pentadbiran yang tidak memahami masyarakat di Selatan, dan beberapa perkara lain lagi. Ternyata, kegagalan kerajaan menangani konflik dan menjalankan polisi secara ‘sembrono’ merupakan punca utama kegagalan menyelesaikannya.
Sekiranya faktor ini tidak di uruskan dengan baik, sudah pasti tiada jalan keluar untuk penyelesaian konflik dan jurang perbezaan pandangan pastinya menjadi semakin luas. Pertukaran kerajaan melalui rampasan kuasa tentera walaupun kelihatan negatif dari satu sudut, diharapkan mampu membawa perubahan positif kepada situasi sedia ada di Selatan. Keinginan General Sonthi dan Perdana Menteri kerajaan sementara, Surayud untuk menggunakan pendekatan lebih lembut dalam menangani isu di Selatan seharusnya disambut baik oleh pelbagai pihak.
Undang-Undang Darurat memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menangkap suspek selama 30 hari tanpa sebab, mencari dan menahan tanpa waran termasuklah merakam perbualan di telefon. Idea menamatkan periystiharan Darurat tersebut selari dengan keputusan untuk menghidupkan semula operasi Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC) yang ditamatkan operasinya oleh Thaksin sejak 2001 lalu. Tindakan ini diyakini menjadi kunci penting bagi menamatkan atau sekurang-kurangnya meredakan kekacauan politik yang berlangsung sekian lama di wilayah Selatan. Walaupun begitu, peluang yang ada sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan pemimpin Islam dan kumpulan-kumpulan pejuang seperti PULO, Barisan Revolusi Nasional (BRN), PEMUDA dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP). Mungkin pilihan penyelesaian adalah tidak banyak, tetapi ia adalah lebih baik daripada membiarkan masyarakat terus menderita dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan. Walaupun ada antara kumpulan-kumpulan ini yang masih menyimpan hasrat mencapai kemerdekaan dan memiliki negara sendiri, ia kelihatan mustahil untuk dilakukan. Mana-mana kerajaan pun termasuklah Thailand pastinya tidak akan membenarkan mana-mana wilayahnya berpecah. Pandangan ini amat wajar diberikan perhatian oleh masyarakat Islam di Selatan khususnya. Surayud sendiri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sewaktu berada dalam lawatan singkat di Jakarta mengakui bahawa pendekatan yang digunakan di Acheh oleh Indonesia sebagai antara model yang dilihat amat baik untuk mewujudkan keamanan di Selatan. Hingga setakat ini, usaha positif yang ditunjukkan oleh kerajaan sementara di Thailand wajar diberikan pujian. Cuma harapan kita agar ia tidak terhenti setakat itu. Kerajaan yang ada sepatutnya mengkaji dan menyelongkar punca kewujudan konflik ke akarnya kerana pendekatan-pendekatan yang bersifat sementara ‘bersifat mengambil hati’ masyarakat pastinya tidak berkekalan dan ditolak oleh rakyat yang sudah lama menderita. Yang penting ialah ‘hak’ masyarakat perlu diberikan perhatian wajar dan tidak diabaikan sewenang-wenangnya. Pastinya untuk menunding jari dengan menyalahkan kerajaan yang ada semudah itu adalah tidak wajar kerana usia konflik sekarang sudah berakar umbi ratusan tahun lamanya. Kerana itu tidak dinafikan masih ada pandangan yang skeptikal terhadap kemampuan kerajaan sekarang untuk menunaikan janji-janji serta melaksanakan pembaharuan di wilayah Selatan terutama disebabkan isu kerajaan yang tidak mendapat mandat sah oleh rakyat. Yang penting ialah langkah-langkah yang cuba diusahakan telah menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam meredakan ketegangan yang telah wujud sekian lama antara masyarakat di Selatan dan kerajaan Thailand. Keamanan di selatan negara Thailand yang majoritinya penduduk Islam pastinya merupakan impian kesemua kita yang menginginkan saudara seagama itu hidup bebas dan aman dari sebarang tekanan dan penderitaan--BARD. |
No comments:
Post a Comment