Wednesday, July 21, 2010

CATATAN ZIARAH SELATAN THAI 16-18 JULAI 2010

16 JULAI 2010


11.30 am : Perjalanan dimulakan dari Serambi Dakwah, Bagan Lalang dan diketuai oleh Abang Nizam. Singgah di terminal bas Butterworth untuk mengambil Luqman iaitu salah seorang peserta ziarah kali ini. Perjalanan diteruskan selepas mengambil Kak Anisa’ (isteri Abang Nizam). Kami (Abg nizam, Kak Anisa’, Luqman, Munirah dan saya) menaiki van menuju ke selatan thai.

12.45pm : Van yang dinaiki mengalami sedikit kerosakan dan kami berhenti kecemasan berhampiran dengan R&R Gurun. Abg Nizam mencadangkan supaya kami berehat di R&R sementara menanti van tersebut dibaiki @ diganti. Kami menghabiskan masa dengan solat, makan, membaca dan melayari internet. Abang Nizam memaklumkan bahawa Amir dan Zaidil sedang dalam perjalanan untuk menghantar Unser bagi membolehkan kami meneruskan misi ziarah pada kali ini.

6.14 pm : Alhamdulillah, berkat doa semua kami berjaya meneruskan perjalanan selepas lebih 5 jam terkandas di sini. Terima kasih yang tak terhingga kepada saudara Amir dan Zaidi. Semoga segalanya dalam hitungan Allah swt. Abg Nizam memaklumkan yang kami akan tiba di imigresen Bukit Kayu Hitam dalam masa 1 jam lagi.

7.16 pm : Kami tiba di Imigresen Bukit Kayu Hitam. Semuanya berjalan lancar bermula dari mengisi borang, proses mengecop pasport walaupun kadang-kadang kami tergelak sendiri apabila berlaku salah faham disebabkan oleh penggunaan bahasa yang berbeza.

8.24 pm : Kami tiba di Dannok dan makan malam di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Yala. Kami berjalan-jalan sebentar sambil memerhatikan kesibukan manusia di Bandar Dannok ini.

9.16 pm : Perjalanan ke Yala diteruskan. Perjalanan kami kerap diganggu oleh kehadiran block-block tentera yang menandakan kawasan tersebut yellow area atau red area.

12.00 am : Alhamdulillah, kami selamat tiba di YALA. Kami menginap di Mata’am bersama-sama dengan 1 kumpulan lagi yang diketuai oleh Ustaz Kamaruddin. Di sana kami dipertemukan dengan Hadi, Asti, dan Hassuna.


17 JULAI 2010

9.00 am : Kami bersarapan di Maidah Ar Rahman sebuah kedai makan yang menyajikan hidangan utamanya nasi minyak, bubur nasi, roti canai dan nasi kerabu. Sambil bersarapan, kami berbincang tentang program ziarah yang akan dilakukan hari ini. Saya lebih banyak mendengar pandangan dari sahabat-sahabat yang sangat berpengalaman dalam misi ziarah seperti ini.

9.30 am : Kami kembali ke Mata’am untuk persiapan terakhir sebelum bertolak ke HAP (Hak Asasi Perikemanusiaan). Perbincangan sekali lagi diadakan dengan Ustaz Kamaruddin untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Ustaz Kamaruddin akan berada di Mata’aam untuk kursus bersama dengan DJ Radio di situ. Munirah ditugaskan untuk membantu Ustaz Kamarddin.

10.00 am : Kami bertolak ke HAP untuk mengambil Zakaria (Chu Ya) dan Ismail. Kemudian kami terus ke rumah Haji Abdul Latip b. Haji Ismail di Kg. Gebing.

Kami seramai 9 orang dimuatkan dalam Unser Abang Nizam. Peserta ziarah kali ini adalah Abg Nizam, Kak Anisa’, Chu Ya, Ismail, Hadi, Luqman, Asti, Hassuna dan saya. Perjalanan menyelusuri kampung tersebut menimbulkan satu perasaan yang sangat tenang walaupun perjalanan kami kerap diganggu oleh kehadiran block-block tentera. Kerapkali berlegar dalam kepala saya apa signifikannya block-block tersebut.

10.50 am : Kami selamat tiba di rumah Hj. Abdul Latif. Kami disambut oleh isteri, anak dan saudara mara Hj Abdul Latif. Kelihatan masih ramai orang-orang kampung yang datang melawat keluarga malang ini.

Hj Abdul Latif yang merupakan tok imam (ketua kampung) dan anak perempuannya, Fathiyyah telah ditembak semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli persiapan perkahwinan anak sulungnya, Wildan. Terdapat 4 orang ahli keluarga tok imam dalam kereta semasa kejadian tersebut iaitu Hjh Aishah (isteri tok imam), Fathiyyah (anak) dan Tasnim (anak).

Kejadian berlaku pada 13 Julai 2010 di Kg. Mabe apabila kereta yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh kereta yang tak dapat dikenalpasti jenisnya. Rempuhan itu menyebabkan kereta mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik.

1 tembakan dilepaskan tepat mengenai dahi Fathiyyah dan menembusi kepalanya. Tembakan itu menyebabkan Fathiyyah rebah serta merta dan dipercayai meninggal dalam perjalanan ke hospital. Manakala tok imam yang terkena tembakan di bahagian belakang kepala masih dirawat di hospital dan terselamat dari cubaan bunuh tersebut dengan izin Allah swt. Alhamdulillah, isteri dan anak bongsu tok imam, Tasnim tidak cedera. Tok imam merupakan tenaga pengajar di pondok dan mengajar Al-Quran untuk kanak-kanak.

Allahyarhamah Fathiyyah berusia 20 tahun merupakan seorang anak yang pintar dan sangat disenangi oleh keluarga dan penduduk kampung. Dia bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Mesir. Kehilangannya turut dirasai oleh anak-anak didiknya di tadika yang di ajarnya setiap hujung minggu. Pemergiannya diredhai walaupun berat hati seorang ibu menerima kehilangan anaknya apatah lagi dengan cara yang sedemikian rupa. Moga roh Fathiyyah ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh. Amin.

Moga nasib keluarga ini terus terpelihara. Permudahkanlah segala urusan mereka Ya Allah. Sesungguhnya kepunyaan Allah lah segala isi langit dan bumi ini.

12.30 pm : Kami tiba di rumah ibu kepada tok nebe iaitu Mariam bt. Bakar, 82 tahun. Tok nebe (tok penghulu) iaitu Abdul Rahman@Sa’ari merupakan mangsa tembakan pada hari yang sama dengan tok imam. Kami disambut mesra oleh saudara mara tok penghulu.

Kejadian tembakan itu berlaku semasa tok penghulu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mesyuarat di Pejabat Daerah lebih kurang pukul 3.00 pm. Semasa kejadian tok penghulu berada dalam kereta dengan saudaranya iaitu Kisdar Hj. Ismail yang juga merupakan pemandu kereta tersebut.

1 tembakan dilepaskan dan mengenai bahu tok penghulu. Kejadian itu berlaku dengan terlalu pantas tanpa sempat mereka menyedari kehadiran kenderaan tersebut. Percubaan kedua dilakukan apabila mereka cuba menyaingi kenderaan yang dinaiki oleh tok penghulu dan menembak dari arah sisi kereta.

Tindakan pantas Kisdar yang membrek kereta dan membawa kereta ke tempat yang dapat dilihat orang ramai berjaya menyelamatkan nyawa mereka berdua apabila kereta tersebut tidak lagi mengekori. Alhamdulillah, tok penghulu selamat dan masih dirawat di hospital.

Kereta yang terkena peluru masih ada pada hari kami melawat ke rumah. Dapat kami saksikan dengan mata kepala sendiri kesan-kesan peluru pada kereta tersebut.

1.50 pm : Kami ke destinasi seterusnya iaitu Muslim Attorney Centre (MAC). Kami disambut lebih kurang 6 orang peguam yang merupakan sukarelawan. Mereka menerima dan menguruskan kes serta memberi kesedaran kepada penduduk tentang hak-hak mereka. Pusat utama MAC adalah di Narathiwat. MAC telah menguruskan lebih kurang 300 kes sejak dari tahun 2007 atau 2008. Di Yala sahaja terdapat lebih kurang 100 kes. Antara kes-kes yang mendapat perhatian adalah kes di Tak Bai dan Nur Hayati.

Di Yala terdapat 6 kekuatan atau tenaga kerja. Kami berbincang tentang isu-isu yang telah berjaya dan sedang diuruskan diuruskan oleh MAC. Kami tinggalkan MAC dengan harapan supaya mereka terus diberi kekuatan untuk berada dalam perjuangan ini.

3.00 pm : Kami semua sudah agak kepenatan. Kami mengambil keputusan untuk makan tengah hari dan berehat sebelum ke destinasi seterusnya.

4.40 pm : Tiba di markas NGO Kg. Taqwa. Kami disambut mesra oleh Pak Teh iaitu Naib Setiausaha Kg. Taqwa dan juga NGO-NGO pemuda Pattani. Semua wakil-wakil NGO berkumpul di sini untuk sesi dialog. Kami menyatakan tujuan kedatangan kami dan bertukar-tukar pendapat.

Pak Teh menerangkan bahawa matlamat Kg. Taqwa adalah menyatukan semua kampung berlandaskan kepada syariat Islam. Ini kerana kebanyakan kampung berpecah belah disebabkan oleh terdapat ramainya nakhoda dalam setiap kampung. Mereka membawa pendekatan yang sentiasa berbeza mengikut kefahaman masing-masing. Sekali lagi ditegaskan bahawa penyatuan semua penduduk kampung mestilah berteraskan kepada syariat Islam. Keimanan merupakan asas dan penekanan yang akan diterapkan.

Setakat ini Kg. Taqwa telah membantu dari segi sumbangan modal dan bimbingan kepada 137 kampung. Di antara matlamat yang ingin dicapai oleh Kg. Taqwa ialah penduduk di setiap kampung 100% penduduknya solat berjemaah, semua mengeluarkan zakat, semua wanita berhijab, sentiasa mengadakan majlis syura, tiada rasuah, sentiasa menjaga kebersihan dan banyak lagi.

Antara perancangan yang disepakati NGO-NGO di sini adalah menubuhkan satu persatuan gabungan NGO-NGO pemuda dan pemudi untuk menimbulkan satu kekuatan. Setakat ini mereka telah berjaya menghimpunkan 8 kumpulan NGO.

Kami berharap agar dapat terus berhubung dan bekerjasama dengan Kg. Taqwa dan NGO-NGO lain di Pattani dari masa ke semasa.

7.00 pm : Kami bertolak pulang ke Mata’am dan berehat secukupnya untuk program keesokan harinya.


18 JULAI 2010

9.00 am : Selesai bersarapan di Maidah Ar Rahman, kami terus ke HAP.

10.00 am : Di HAP kami mengadakan perbincangan tentang hasil dapatan kami sepanjang program ziarah ini terutamanya ziarah ke rumah tok imam dan tok penghulu. Kami juga dikehendaki untuk membina soalan kaji selidik berdasarkan dapatan kami pada hari tersebut
Saya, kak Anisa’ dan Hassuna ditugaskan membina soalan kaji selidik yang berkaitan dengan keluarga, manakala Asti dan Luqman membina soalan kaji selidik berkaitan masyarakat dan politik.

Di harap agar soalan kaji selidik yang di bina dapat menjadi guideline atau penanda aras bagi proses temuramah pada siri ziarah yang akan datang. InsyaAllah.

11.30 am : Selesai proses perbincangan dan penambahbaikan soalan kaji selidik selesai, kami meninggalkan HAP dan berjalan kaki ke pasar yang berhampiran dengan Masjid Besar Yala. Pasar tersebut penuh sesak dengan penduduk-penduduk Yala yang sibuk membeli barang keperluan harian mereka. Kami sempat juga membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.

4.00 pm : Selepas makan tengahari kami menuju ke Mata’aam untuk mengemaskan barang-barang sebelum bertolak pulang. Kami pulang ke Malaysia berkonvoi 2 buah kenderaan.

9.00 pm : Kami selamat tiba di sempadan Malaysia-Thailand. Ziarah kami tertangguh di sini buat sementara waktu. InsyaAllah dengan keizinan dariNya program-program seperti ini akan sentiasa berjalan dalam usaha untuk membantu dan memberi kesedaran tentang konflik yang melanda saudara seislam kita di sana. Moga dipermudahkan segalanya.


*waktu yang digunakan adalah waktu Malaysia

A’aina Wajihah bt. Mohd Zamani
Sukarelawan AMANI


Bismillahirahmanirahim..

Tidak pernah terlintas di fikiran yang diri ini akan menjejakkan kaki ke bumi yang tak pernah dijajah ini. Suatu perkara yang sangat asing dalam diari hidup ini. Alhamdulillah, dipertemukan oleh Allah swt dengan seorang sahabat yang sentiasa menunjuk jalan dan meniupkan semangat juang dalam diri ini baik secara langsung atau tidak. Seorang sahabat yang membawa saya menjenguk keluar dari dunia rutin yang biasa saya lalui. Berita mengenai selatan thai biasanya didengar dari jauh melalui media massa namun sekarang selatan thai terasa dekat di hati. Saya semakin cakna dan semakin sensitif tentang kejadian-kejadian yang menimpa mereka. Bersyukur pada MU YA ALLAH.
Bertemu dengan keluarga Hj. Abdul Latif dan Abdul Rahman@Sa’ari menginsafkan diri akan kehidupan minoriti Islam di sini dalam usaha mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup sambil memegang utuh akan syariat Islam yang semakin cuba dihapuskan sedikit demi sedikit. Hebatnya mereka saat diuji masih utuh menyandarkan harapan dan redhanya mereka hanya kepada Allah swt. Semangat ini ingin saya bawa masuk ke dalam ‘dunia’ saya yang sangat jauh lebih baik berbanding mereka. Semoga pengalaman ini mampu dikongsi bersama sahabat-sahabat yang lain.
“Kalau berpeluang pergilah melihat sendiri keadaan masyarakat Islam yang ditindas supaya hati lebih insaf, kuat dan meninggikan lagi semangat juang dalam diri.”
Kata-kata keramat yang menjadi asbab kepada saya diizinkan untuk menyertai misi ziarah kali ini. Keredhaan mak dan abah sangat-sangat diperlukan dalam meneruskan langkah-langkah perjuangan yang semakin sukar.
Terima kasih kerana mengizinkan saya Ya Allah..






A’aina Wajihah bt. Mohd Zamani
Kuala Terengganu.

1 comment:

Khyrul Hycal said...

Mudah-mudahan dapat memberi inspirasi dan semangat pada sahabat-sahabat lain di luar sana..

Tahniah..^_^