Tuesday, February 28, 2017

Pengalaman Di Hujung Selatan Negara Gajah Putih

As salam dari Malaysia untuk saudara-saudara di Hujung Selatan

Salam sejahtera kepada Editor Deepsouthwatch.org dan rakan-rakan d negara yang pernah dikenali sebagai Patani Darussalam. Terus terang saya katakan tidak mengenali Patani.Setelah membaca artikel dalam DeepSouthwatch.org dan  buku-buku oleh pengarang Melayu dan Inggeris seperti Dr.Zamberi dan Prof Dr. Duncan Mc Cargo barulah jelas wajah PataniDarussalam. 

Saya kemudiannya  menghubungi NGO yang aktif membantu rakyat Patani yang dirundung duka.NGO itu dikenali sebagai Aman Patani. Kumpulan ini banyak membantu rakyat Patani dari segi pendidikan terutamanya membangunkan bahasa Melayu.Aman Patani sering menghulurkan bantuan kepada rumah anak yatim di Jala dan Patani. Wang ini disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui tabung yang diletakkan di kedai makan orang Patani.

Saya seperti orang Malaysia yang lain tidak begitu tahu keadaan yang berlaku di Hujung Selatan.Negara Gajah Putih . Surat khabar di Malaysia tidak banyak memuatkan berita keadaan ataupun pergolakan yang berlaku di Hujung Selatan.

Saya baru mengenali rakan-rkan di Deepsouthwatch.org seperti Ramadon Ranjor, Areeda, Ayub Pathan dan beberapa orang lagi. Sayang sekali mereka ini tidak menulis dalam bahasa Melayu. Saya fikir keadaan ini berlaku kerana dasar Siamisasi dan Rathanayom yang dipaksakan  oleh kerajaan Thai terhadap umat Melayu warga Thailand. Demikian juga dengan dasar pendidikan di Thailand yang tidak berminat memberikan ruangan untuk pengajaran bahasa Melayu. Jadi tidak hairan lahirnya generasi Melayu di Thailand yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu

Oleh Tun Sri Lanang Al Filfilan
Dipetik daripada Deepsouthwatch.org/ms/node/9433

Monday, February 27, 2017

Negara Patani Darussalam,Lord Macaulay dan Pengemis

Saya sudah lama mendengar nama Patani. Tapi tidak pernah berkesempatan ke Patani sehingga usia mencecah 50an. Nama Sheikh Daud tidak asing  bagi mereka yang belajar di pondok. Kitab Tok Sheikh Daud adalah suatu kesemistian. Semua pelajar pondok menggunakan kitab yang dikarang oleh Tok Sheikh yang alim ini. 

Tapi ramai yang  tidak mengetahui sejarah perjuangan Tok Sheikh Daud Al_Fathoni. Sejarah perjuangan Sheikh yang besar dan cukup alim tidak diajar di Malaysia khususnya di sekolah kerajaan. Mungkin ada pelajar pondok yang mengetahui sejarah perjuangan Sheikh ini tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Pendidikan yang diberi oleh Sheikh Daud cukup berkesan dan sukar dipadam walaupun ada usaha bersungguh-sungguh dilakukan. Umat Melayu Islam Patani masih berpegang kuat dengan ajaran Islam khususnya wilayah Jala, Menara(Narathiwat) dan beberapa kawasan dalam wilayah Singgora. Empat wilayah Melayu Islam ini berhempas pulas  mempertahahankan pegangan agama Islam dan kebudayaan Melayu. Walaupun bagitu umat Melayu Islam belum mampu  memartabatkan bahasa Melayu sebagaimana yang dihasratkan oleh pejuang utama keadilan,Haji Sulong.

Arus Siamisasi begitu kuat memukul minda umat Melayu Islam Patani sehingga sebilangan besar mereka tewas dan lebih selesa mengelarkan ataupun membahasakan diri mereka sebagai "Thai Muslim"



Dalam kitab Sejarah Melayu banyak sekali menyebut nama Singgora( sekarang disebut Songkhla), Ligor(sekarang Nakhon Sithamarat). Semua wilayah ini milik umat Melayu Islam pada suatu masa dahulu.

Dalam hubungan saya tertarik dengan ucapan Lord Macaulay di parlimen British. Beliau melihat betapa berkesan sekali pendidikan Islam di India, begitu ampuh sekali  sehingga kubu iman umat Islam sukar diruntuhkan.

Lord Macaulay tidak bertemupun dengan seorang pengemis'pencuri dan budayanya luhur sekali. Menurut Lord Macaulay lagi selagi sistem pendidikan di India  tidak diruntuhkan selagi itulah British tidak mampu menguasai benua India. Dengan memperkenalkan sistem pendidikan Inggeris satu demi satu budaya dan cara hidup umat Islam di India tercabut setelah termakan racun pendidikan Inggeris. Selepas itu British terus melebarkan jaring pendidikannya ke wilayah Nusantara ini Patani Darussalam tidak kecuali.

Apa yang menarik tentang empat wilayah di Hujung Selatan ini tidak ditemui seorang pengemispun. Saya telah berkelana di wilayah ini sejak tahun 2013 sehinggalah sekarang.

Di  Jalapun tiada 
Di Singgorapun tiada
Di  Menarapun tiada.
Di Patanipun tiada

Apa yang tiada di wilayah yang terluka ini ialah keadilan dan keamanan.
Umat di sini cukup merindui keadilan dan keamanan yang masih jauh berbalam-balam

Dipetik daripada Deepsouthwatch.org/ms/node/9616

Oleh Tun Sri Lanang Al Filfilan

Projek Kembali Ke Sekolah

Tahun ini kami kembali dengan "Projek Kembali Ke Sekolah" untuk anak-anak yatim miskin di Patani Darussalam. Mereka memerlukan beg sekolah, sepasang kasut dan sepasang baju. Wilayah yang bergolak ini sering dilupakan.

Di wilayah ini,Menara, Patani, Jala dan juga beberapa wilayah di Singgora anak-anak yatim miskin memerlukan bantuan. Mereka kehilangan seorang lelaki yang bernama Ayah. Mereka menunggu dan sentiasa menunggu kepulangan seorang lelaki yang bernama Ayah.

Kata ibu, " ayah dibawa oleh orang yang bersenjata."
Kata ibu." ayah ditembak oleh orang yang bersenjata."
Anak-anak ini sentiasa mengharapkan kepulangan seorang ayah.


Ayah akan belikan sepasang kasut baru
Ayah akan belikan baju sekolah baru
Ayah akan belikan beg baru.
Kami menunggu kepulangan ayah.

Sampai kini ayah belum pulang
Pohon kelapa yang ditanam ayah sudah berbunga
Ayah belum pulang juga.
Ibulah membesarkan kami siang dan malam.

Di sini kami mencari keadilan.
Rupa-rupanya keadilan sudah mati
Biarpun malam hitam pekat dan kami terpaksa meraba-raba.
Kami yakin bila Sang Mentari pagi muncul
Malam hitam pekat pasti berakhir.


Bantulah anak-anak yatim miskin
Mereka adalah saudara kita.
Mereka berbaris disepanjang muka masa
Dan kenangkanlah nasib mereka.


Oleh TS Kembara