Disiar di Berita Harian, 10 November 2011
PROFESOR Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud sebelum menghembuskan
nafas terakhir pada 28 Oktober 2010 lalu sempat meninggalkan ‘formula’
bagaimana konflik di Selatan Thailand atau Pattani harus ditangani dan
diselesaikan oleh kerajaan Thailand. Formula penyelesaian Nik Anuar ini
dibukukan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan
Malaysia. Bagi menghargai sumbangan pemikiran beliau terhadap
masyarakat dan negara, satu majlis Syarahan Kenangan Nik Anuar
dilangsungkan ATMA baru-baru ini yang disampaikan Prof Dr Abdullah
Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Ternyata, Nik Anuar sebagai seorang ilmuwan dalam bidang sejarah
harus dikenang terutama oleh generasi muda negara ini. Sumbangan dan
ketekunan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan terutama bidang sejarah
Malaysia dan isu persempadanan seperti pembabitan beliau dalam kumpulan
penyelidikan isu tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Sipadan serta
Pulau Batu Putih. Satu daripada sumbangan pemikiran Nik Anuar yang
penting ialah dalam sejarah Siam atau Thailand. Penumpuan beliau dalam
kajian ini membawa Nik Anuar menelusuri penuh teliti punca konflik
melanda Selatan Thailand yang sehingga kini belum berkesudahan.
Dalam bukunya, Mencari Perdamaian di Asia Tenggara, Merungkai Konflik
di Selatan Thailand, Nik Anuar menjelaskan kegagalan penyelesaian
konflik itu berpunca daripada ‘keengganan kerajaan Thailand melihat
masalah di tiga wilayah itu dari perspektif sejarah’. Beliau menambah
sejarah sudah membuktikan ibu segala masalah di wilayah itu ialah
apabila Pattani dikecualikan daripada perjanjian Bangkok 1909.
Untuk makluman, pada perjanjian Bangkok 1909, hanya Kelantan,
Terengganu, Kedah dan Perlis saja diserahkan kepada Britain, manakala
Pattani yang juga antara wilayah penting kerajaan Melayu-Islam ketika
itu kekal sebagai sebahagian tanah jajahan Siam. Keadaan ini terpaksa
dilakukan demi kepentingan Britain di Asia Tenggara iaitu bagi
memastikan Siam tidak menjemput kuasa luar lain menguasai Tanah Besar
Asia Tenggara. Dalam kata lain, Pattani adalah taruhan bagi menjaga hati
Siam walaupun diketahui bahawa ia salah sebuah kerajaan Melayu-Islam
yang penting ketika itu.
Pengekalan Pattani sebagai tanah jajahan Siam memburukkan keadaan dan
mengukuhkan gerakan penentangan terhadap kerajaan Siam yang sebenarnya
sudah wujud sejak negeri itu ditakluki Siam pada 1786. Sepanjang
sejarahnya, Siam sudah menjayakan banyak langkah bagi mengukuhkan
penguasaannya di Pattani. Menurut Nik Anuar, antara langkah kontroversi
ialah pengenalan sistem Thesaphiban iaitu satu kaedah pentadbiran di
mana pentadbiran wilayah dikumpulkan dan ditadbir seorang pesuruhjaya.
Menerusi sistem ini, autonomi atau kedaulatan pemerintahan Raja Pattani
mula terhakis.
Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila pemerintah Siam
memperkenalkan dasar Thai Rathaniyom atau program asimilasi budaya dan
adat Thai secara paksaan. Dasar ini ternyata mendorong kebangkitan
perjuangan rakyat Pattani. Mereka mula berasakan jati diri mereka telah
diceroboh dan masa depan ketamadunan mereka bakal runtuh menerusi dasar
paksaan kebudayaan. Beberapa nama pejuang awal Pattani ialah antaranya
Haji Mat Pauh, Tuan Guru Haji Bermin atau Haji Wan Ahmad bin Wan Idris,
Haji Hasan dan Haji Abdullah Embung bangkit bagi menghalang usaha
penjajahan secara kebudayaan ini.
Inilah sebahagian kutipan ringkas penjelasan Nik Anuar mengenai
sejarah konflik dan perjuangan rakyat Pattani bagi mempertahankan maruah
dan jati dirinya. Sehingga saat ini, perjuangan ini belum tamat. Ia
menjadi lebih rumit lagi sejak berlakunya peristiwa berdarah di masjid
Krisek dan pembunuhan di Tabal pada 2004.
Bagi Nik Anuar, konflik di Selatan Thailand ini boleh diselesaikan
menerusi formula berikut: Kerajaan Thailand perlu mempertimbangkan
kemungkinan mewujudkan satu bentuk Pentadbiran Istimewa di wilayah
majoriti Melayu. Pentadbiran ini akan diurus oleh penduduk tempatan
dalam kerangka negara Thailand. Kerajaan Thailand perlu menerima hakikat
akan keunikan orang Melayu. Mereka mesti diberi kebebasan untuk
mengamalkan adat resam dan kebudayaan mereka. Kerajaan Thailand perlu
mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wilayah berkenaan,
manakala agama Islam diberi keistimewaan khusus. Hubungan antara wilayah
istimewa dengan kerajaan Pusat perlu berasaskan kerangka federalisme.
Wilayah istimewa perlu diberi hak yang adil ke atas hasil kekayaan
ekonomi yang dimiliki. Pejuang perlu meletak senjata dan menyertai
rancangan penempatan atau demobilisasi. Pelaksanaan perjanjian ini mesti
dipantau oleh badan antarabangsa bagi memastikan kejayaannya. Begitulah
lima formula penyelesaian konflik Selatan Thailand menurut Nik Anuar.
Bagi beliau, keamanan di Selatan Thailand harus diberi perhatian kerana
ia akan menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat Asia Tenggara
secara keseluruhannya.
Bagi Nik Anuar, inilah formula terbaik dan ia boleh dijayakan
sekiranya kerajaan Thailand ikhlas bagi menamatkan konflik yang melanda
sejak sekian lama. Begitulah sumbangan ahli ilmuwan kepada masyarakat.
Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat dan
negara ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan seumpama Nik
Anuar. Ahli ilmuwan ibarat pelita penyuluh kegelapan. Dalam syarahan
yang diberikan, Prof Dr Abdullah menggelarkan Nik Anuar sebagai
‘Sejarawan Dalam Kenangan’.
sumber: http://razak.wordpress.com
No comments:
Post a Comment