“Apa yang berlaku di Palestin sebenarnya berlaku di Patani. Sebenarnya tiada bezanya antara nasib umat Islam di kedua wilayah ini, cuma nasib rakyat Patani tidak mendapat perhatian masyarakat antarabangsa”.
“Bangsa kami dizalimi, hak dirampas, para pemuda dihalang mendapatkan pendidikan dan dikenakan tuduhan pengganas, berlaku transmigrasi dengan pemindahan beramai-ramai bangsa Siam ke kawasan penduduk Melayu-Islam. Asimilasi kaum juga berlaku dengan usaha menghilangkan budaya melalui perlembagaan”.
“Terdapat usaha yang kuat daripada pihak kerajaan sendiri bagi menghilangkan identiti Melayu-Islam termasuk memaksa penggunaan bahasa Siam dan melarang kami bertutur bahasa ibunda kami daripada sekolah rendah hingga ke universiti. Sehingga kini di kalangan generasi muda, tidak sampai 30 peratus sahaja yang boleh bercakap Melayu”.
Demikian diluahkan pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Selatan Thai, Ahmad Shah Masood, 25, ketika berceramah dalam program ‘Santai Anak Muda’ di di Lanai Lestari, Gantok, Temerloh Pahang baru-baru ini tepatnya pada 21 April 2010.
Beliau bersama rakan-rakannya Ismail Yusof, Ali Muhammad dan Arif Abdullah dalam road-show bagi menyedarkan masyarakat luar terutamanya Malaysia tentang nasib masyarakat Patani di wilayah bergolak selatan Thailand.
Ahmad Shah memilih Pahang sebagai destinasi pertama kerana menurutnya terdapat pertalian persaudaraan kerana pernah seorang kerabat di raja Patani berkahwin dengan anak raja Pahang.
“Setiap hari berlaku pembunuhan dan perempuan-perempuan dirogol. Ada kisah seorang gadis bernama Norhayati dirogol beramai-ramai oleh tentera Siam kemudian dibunuh. Bila ibu dia lihat, pihak tentera menangkapnya dan diselimutkan lalu dicucuh dengan api, tetapi nasib ibu itu baik dan tidak mati. Daripada situlah dipecahkan cerita kezaliman dan kebuasan pihak tentera,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.
Menurut Ahmad Shah, dendam zaman berzaman Siam terhadap masyarakat Melayu-Islam Patani bermula sejak penjajahan Bangkok 1786. Sebelum itu, orang Melayu Patani mempunyai sebuah kerajaan yang besar dan kuat di Tanah Melayu. Selepas penjajahan dan pertelagahan dengan Siam dalam tempoh yang panjang akhirnya termeterai Anglo-Siam Treaty atau Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 dengan membahagikan Patani kepada 7 bahagian.
Sejak itu pemerintahan Kesultanan Melayu terhapus. Beberapa orang pejuang Patani seperti Tengku Mahmud Mahyudin dan Haji Sulung berusaha mendapatkan kemerdekaan Patani atau berusaha membawa wilayah tersebut masuk ke Malaysia yang merdeka. Namun kedua-duanya dibunuh oleh tentera Siam pada tahun 1954.
Menurut Ahmad Shah, selepas kematian kedua-dua pemimpin tersebut perjuangan masyarakat Melayu Patani tidak lagi dipimpin pemimpin besar disebabkan wujud banyak kumpulan pejuang-pejuang kecil. Itupun kebanyakannya dibunuh, ditangkap atau dihilangkan terus tanpa diketahui nasib mereka.
Sejak 2004, tekanan kerajaan Thailand terhadap orang Melayu Patani makin hebat iaitu dengan memberi kuasa kepada tentera, polis dan pegawai kerajaan untuk melakukan kezaliman.
Mereka juga ditambat dengan undang-undang tanpa bicara Emergency Degree, Marshall Law dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Beberapa peristiwa menyayat hati umat Islam Patani ialah tragedi Masjid Krisek 28 April 2004 yang mengorbankan 108 orang Islam, peristiwa berdarah Tak Bai pada 24 Oktober 2004 yang meragut 78 nyawa dan pembunuhan 19 ahli jamaah di Masjid Al-Furqan daerah Cha-Airong, Narathiwat ketika menunaikan sembahyang Isyak pada 8 Jun 2009.
Dendam kesumat dan rasa curiga bangsa Siam terhadap umat Islam Patani tidak pernah padam dan pembunuhan berlaku hampir setiap hari. Sejak 2004 sehingga kini sudah lebih 4,000 yang menemui ajal.
“Namun semua itu tidak pernah menggentarkan hati kami dan perjuangan rakyat Patani tidak pernah berhenti. Jika dulu lelaki yang banyak ditangkap, kini perempuan pula yang terpaksa bangun berdemonstrasi. Kami yang masih belajar ini pula terpaksa berada di barisan hadapan,” jelas Ahmad Shah.
Ahmad Shah berkata, beliau bersama tiga sahabatnya pernah beberapa kali dipenjara dan didera oleh pihak berkuasa Thailand. Mereka juga melihat sendiri pihak tentera menyiksa orang kampung di depan mata mereka. Pada peringkat ini,
Ahmad Shah bersama kumpulannya sedaya upaya mengusahakan hubungan antarabangsa termasuk menemui duta dalam negara Asean, supaya mereka sedar penderitaan umat Islam Patani sama seperti nasib bangsa Moro, Rohingya, Palestin dan Bosnia.
“Kami mahu dunia sedar bahawa kami bangsa yang dilarang bertutur bahasa sendiri. Kami bangsa yang dihalang mengamalkan budaya kami sendiri. Kami bangsa yang disekat daripada menjalankan aktiviti agama kami. Kami mahu dunia sedar ada satu bangsa sudah makin memupus jika tidak diberi perhatian”.
“Kami berikrar tidak akan berhenti berjuang bagi menuntut keadilan dan kedamaian bangsa kami. Kami yakin kejayaan akan datang juga tetapi mengakui terpaksa menempuh pelbagai cabaran. Jadi kami harapkan sekurang-kurangnya secebis doa daripada rakan-rakan seIslam di sini,” katanya penuh bersemangat.
sumber : selamatkanpahang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment