Friday, June 11, 2010

Tentang Futuwwah (Kesatriaan)


"Futuwwah (kesatriaan) adalah memiliki akhlak yang baik."
[Umar bin Uthman Al-Makki r.a.]

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh."
[Riwayat Bukhari dan Baihaqi]


"Futuwwah ertinya mengikuti Sunnah
(kerana Rasulullah s.a.w. sendiri adalah Satria terulung)."
[Sahl bin Abdullah al-Tustari r.a.]


"Futuwwah ertinya setia dan tidak melanggar batas yang ditetapkan Allah."
[Imam Al-Qusyairi]



"Futuwwah ertinya seseorang harus selalu memberi perhatian terhadap orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
'Allah s.w.t. memberikan perhatian kepada keperluan seorang hamba
selama hamba itu menjaga keperluan saudaranya."
[Imam Al-Qusyairi]


"Kesempurnaan sifat futuwwah
hanya ada pada Rasulullah s.a.w. sahaja,
kerana pada Hari Kebangkitan
semua orang akan mengucapkan: 'Diriku, diriku'.
Sedangkan Rasulullah s.a.w. akan menyatakan:
'Ummatku, ummatku'."
[Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq]




"Futuwwah ertinya menahan diri dari menyakiti hati orang lain
dan menawarkan kemurahan hati."
[Imam Al-Junaid Al-Baghdadi]


"Futuwwah ertinya kamu tidak membenci orang miskin
tapi tidak pula menghindari orang kaya."
[Imam Al-Junaid Al-Baghdadi]




"Futuwwah ertinya bersikap murah hati
dengan apa sahaja yang telah dianugerahkan kepadamu,
dan menyembunyikan kesulitan-kesulitanmu."
[Imam Al-Qusyairi]




"Futuwwah bererti seseorang
tidak menganggap dirinya lebih tinggi (yakni, lebih mulia) dari orang lain."
[Imam Al-Qusyairi]


"Orang yang bersifat futuwwah adalah dia yang tidak mempunyai musuh."
[Abu Bakr Al-Warraq]


"Futuwwah bererti kamu adalah musuh bagi dirimu sendiri, kerana Allah."
[Muhammad bin Ali At-Tirmidzi r.a.]




"Futuwwah adalah perbuatan bijak yang kamu lakukan
tanpa melihat dirimu dalam perbuatan itu."
[Imam Al-Qusyairi]


"Futuwwah ertinya kamu tidak berpaling
ketika seseorang yang memerlukan datang mendekatimu."
[Imam Al-Qusyairi]


"Futuwwah ertinya kamu tidak bersembunyi
dari orang yang yang mencarimu."
[Imam Al-Qusyairi]


"Futuwwah ertinya kamu tidak mengumpulkan harta kekayaan
(untuk disimpan lalu dibanggakan)
dan tidak mencari-cari alasan (untuk tidak bersedekah)."
[Imam Al-Qusyairi]




"Futuwwah adalah jika kita diberi sesuatu, kita bersyukur;
dan jika tidak diberi, kita bersabar."
[Syaqiq Al-Balkhi]


"Futuwwah adalah jika kita diberi sesuatu, kita berikan kepada orang lain.
Dan jika kita tidak diberi, kita bersyukur."
[Imam Ja'afar bin Muhammad As-Sadiq r.a.]




"Manusia yang futuwwah (bersifat kesatriaan)
adalah orang yang berani menghancurkan berhala.
Berhala setiap manusia adalah hawa nafsunya sendiri.
Maka, orang yang melawan hawa nafsunya
adalah orang yang benar-benar futuwwah."
[Imam Al-Qusyairi]


"Futuwwah bererti bahawa hal-hal yang abadi mahupun fana'
sama sahaja bagimu."
[Muhammad bin Ali At-Tirmidzi r.a.]



"Muruwwah (kemuliaan) adalah bahagian dari futuwwah (kesatriaan).
Ia bererti berpaling dari dunia ini dan juga akhirat,
dengan bangga menjauhi keduanya (untuk hanya bersama-Nya)."
[An-Nasrabadhi]


Dipetik dari Bab Futuwwah, Risalah Al-Qusyairiyyah - Imam 'Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi

Wednesday, June 9, 2010

Sekeping hati dibawa berlari



Sebelum Ramadhan tahun 2009 – kali pertama kami bersua

“Lillah, teman Kak Teh beli barang-barang dapur.. Kak Teh nak masak untuk tetamu dari Patani.. Petang ni abang Amir balik..”ajak Kak Teh. (Kak Teh isteri abang Amir, suaminya ke Selatan Thai)

Dan petang itu kami menyediakan makan malam untuk tetamu-tetamu dari sana..

Kami sempat memasak sedikit sahaja lauk dan semua kelihatan terkulat-kulat ketika makan. Akhirnya semua ambil sangat sedikit lauk dan masih ada sedikit baki di akhirnya. Saya terharu melihatkan masing-masing mahu mengutamakan saudara yang lain. Senyuman manis tidak lekang dari wajah mereka meskipun letih.

Disitulah permulaan sebuah ukhwah yang terjalin..



Sebelum Syawal tahun 2009 – sebelum mereka pulang ke Selatan Thailand.

"Kami juga tidak tahu sama ada kami juga akan ditangkap sekiranya mereka tahu kami di sini.."ucap salah seorang gadis Patani itu.

Meremang bulu roma mendengar kata-katanya.. benar katanya, tiada jaminan keselamatan yang dapat diberikan kepada mereka..

Lawan mereka bukan orang sebarangan.. tetapi dengan raja Thailand sendiri.. teringat ayat-ayat Quran menceritakan tentang Firaun dan Musa a.s.. sekalipun seorang Nabi Allah, Musa a.s tetap seorang manusia.. Ketika Musa ketakutan, Allah memujuk Musa.. memberi semangat dan janji untuk membantu Musa.. dan hanya kepada Allah satu-satunya tempat bergantung..

"Ketika lelaki sedang bersembahyang jumaat, kaum ibu dan anak-anak perempuan akan mengelilingi masjid demi melindungi kaum lelaki yang sedang bersolat.."

Sebuah video dipaparkan..

Ya Allah... Terasa benar semangat perjuangan kaum hawa di sana...
"Di sana ada red zone.. yellow zone dan green zone.. di red zone ini kebanyakkan cuma ada kaum wanita, anak-anak dan orang tua kerana kaum lelaki kebanyakkan telah ditangkap.. dan dibunuh.."

Teringat ketika bersembang dengan dua gadis Selatan Thailand itu..
"Tinggal di zon mana?"tanya lillah.
"Red zone.."jawabnya perlahan..

Sebelum mengakhiri pembentangan, mereka meminta respons lillah..
Entah kenapa suara ini bagai tersekat di kerongkong.. hiba.. tak tau nak kata apa..

Sekali lagi mereka meminta respons lillah..
"Apa yang boleh kami bantu?" soal lillah..

"Pertama.. doakan kami..

Kedua, tolong kami sebarkan tentang apa yang berlaku ini.. kerana di sana kerajaan menutup semua maklumat dari sampai ke luar negara..

Ketiga, di sana ibu-ibu yang kehilangan suami mengalami masalah ekonomi. mereka ada produk tetapi tidak dapat dipasarkan. mungkin lepas ini produk itu boleh di eksport ke sini.." jawabnya..


*****

4 orang gadis Selatan Thai yang umur pun lebih kurang sebaya dengan lillah ni sanggup bersabung nyawa merantau ke negara orang demi mempertahankan agama dan bangsa mereka..

Apa yang berlaku di selatan Thai sama hebatnya seperti di Palestine..

Dirogol, dibunuh dan dinafikan hak asasi.. Sebolehnya pihak kerajaan hendak menghapuskan bangsa Melayu Patani dari muka bumi ini..
"Lillah.. marilah ke sana.."jemput mereka.. berkali-kali di jemput..

"Insya'allah.. nanti bulan Disember ni.. kene buat paperwork dulu ni.."


Disember 2009 – AMANI ditubuhkan.

Ketika ini saya masih memegang status Majlis Tertinggi dalam sebuah gerakan. Setiap hari jadual saya penuh dan padat dari awal pagi hinggalah lewat malam. Sebelum keputusan peperiksaan akhir semester keluar, saya telah menyambung pengajian di peringkat master. Sambil-sambil itu saya mula bekerja untuk membantu kerja-kerja dakwah. Hanya Allah sahaja yang tahu berapa banyak air mata yang menitis sepanjang tempoh itu. Ujian yang datang makin lama makin berat hinggakan saya menyangka saya akan tercampak dari jalan dakwah dan tidak mampu ke jalan itu lagi. Saya tidak mahu begitu! Bagi mereka yang pernah merasai kemanisan berjuang di jalan Allah, takkan ada lagi pilihan kedua dalam hidupnya melainkan perjuangan…

Ketika sahabat-sahabat saya turun ke Selatan Thailand, saya cuma mampu mempersiapkan bantuan disebalik tabir sahaja. Hanya ini yang mampu hambaMu ini lakukan ya Allah...



Mac 2010 – Konvo

Ketika ini dunia saya berubah.. saya berdiri di atas dahan yang sangat rapuh. Saya melangkah di dewan mengambil ijazah dalam keadaan demam.. saya bukan lagi seorang pelajar Master, bukan juga aktivis mana-mana NGO dan bukan juga terikat dengan apa-apa jemaah.

Ketika itu juga saya melihat abah saya sakit dan emak saya menangis. Saya melihat adik-adik saya menangis dengan ujian-ujian yang menimpa kami sekeluarga bagaikan hujan. Tertanya-tanya apakah penghujung perjuangan ini? Kemanakah harus saya bawa semangat dan impian ini?

Ya Allah... berilah hidayah kepada kami.. andai dengan ujian ini dapat mendekatkan kami kepada Mu, maka bantulah kami untuk melaluinya.. Jadikanlah kami orang-orang yang terpilih dicintaiMu...

Ketika ini saya terpaksa melepaskan AMANI tetapi hakikatnya hati saya tidak pernah melepaskannya. Jauh di sudut hati, saya masih sayangkan AMANI.. jadi saya tetap membantu di sebalik tabir.


Mei 2010 – Kembali

Doa tidak pernah putus agar Allah meletakkan saya ditempat yang betul.. Saya tidak mahu mati dalam keadaan sia-sia.. Saya tidak mahu tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi. Allah mendengar rintihan ini.

Entah tiba-tiba saya mendapat keizinan emak untuk kembali menyertai AMANI secara serius. Setiap minggu saya akan turun naik dari utara ke selatan tanpa rasa jemu. Saya faham apa yang saya buat dan saya tahu saya diperlukan di sini kerana itulah saya masih di sini. Tidak mudah untuk berada di tempat ini namun ianya tetap indah. Kebahagiaan itu bukan di penghujung perjalanan tetapi di sepanjang perjalanan…

Saya pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat meskipun sehari sebelum ke Selatan Thailand berlaku satu letupan di tempat yang saya pergi itu. Saya sempat berlari-lari tergesa-gesa di deretan kedai mencari barang apabila tiba-tiba sahabat Patani, Yati memberitahu : “Di sinilah letupan tu berlaku,”

Pada hari terakhir sebelum kami pulang itu, berlaku kematian di sebuah kem tahanan. Saya bersolat di surau tempat menunggu bersama keluarga-keluarga yang datang untuk menziarahi keluarga mereka. Wajah-wajah kaum hawa itu membekas dalam sanubari saya..
Ya Allah.. berilah kekuatan kepada diri ini agar dapat menguatkan agama Mu..



Jun 2010 - Saya sudah bersedia..

Saya dikejutkan dengan kematian abang kepada sahabat Patani, Yati. Tangan saya sejuk. Sepanjang seminggu lebih saya bersama Yati pada bulan Mei membuatkan ukhwah yang terjalin begitu erat.. Dugaan yang menimpa keluarganya turut membuatkan saya terduduk. Arwah meninggalkan 9 orang anak yatim. Membuak-buak perasaan untuk ke sana memeluk sahabat yang sudah banyak bekorban itu..

Dia pernah bertanya :
"Saya pernah bertanya pada kawan saya di sana... ada tak orang lain yang seperti kita?"

"Ada tak orang lain yang mahu membantu kita?"

"Ada tak?"

"Dan saya tak sangka saya dapat bertemu orang-orang itu di sini.. saya malu pada Lillah dan kawan-kawan Lillah.. kerana kamu semua berada di tempat yang senang tetapi sanggup memilih jalan yang susah.. jalan perjuangan.."

"Sedangkan ramai kawan-kawan di sana yang tidak mahu berjuang... yang takut susah.."

Gadis genit itu bertutur perlahan. Saya menemani dia di dalam kenderaan sementara sahabat-sahabat lain sedang sibuk di dalam masjid menguruskan road show.. sahabat ini lelah, dadanya sakit. Walaupun sakit, dia tetap cekal untuk bersama kami sehingga tamat road show..

Kata-kata gadis genit itu akan saya simpan di dalam hati saya.. terima kasih ya Allah.. terima kasih kerana mempertemukan saya dengan dia.. terima kasih ya Allah kerana mempertemukan saya dengan mereka.. terima kasih ya Allah kerana memberi saya kehidupan yang bahagia ini..

Bukanlah kata-kata si gadis itu yang membahagiakan saya.. tetapi dapat mengetahui bahawa dalam dunia yang sepi ini, saya tidak bersendirian itulah yang membahagiakan saya...
Tidak sampai seminggu berlalu, satu kes lagi berlaku melibatkan seorang guru yang meninggalkan 7 orang anak yatim…

Saya membelek-belek planner saya. Padat. Padat. Padat. Siang saya bekerja. Malam untuk kerja-kerja dakwah. Tetapi selalunya bertindih juga terutama apabila berlakunya kes-kes kecemasan. Ya Allah Ya Rabbi… Hanya ini yang mampu hamba kerdil ini lakukan.. Kuatkanlah hambaMu ini agar dapat menguatkan agamaMu..

Seandainya suatu hari nanti saya juga akan mati, saya berharap Allah memelihara jasad saya.. Saya memelihara aurat dan maruah saya kerana Dia maka saya berharap Dia memelihara aurat dan maruah saya di dunia dan akhirat…

Ya Latiff…. Ya Qahhar… sesungguhnya aku mencintaiMu…


-sukarelawan AMANI-
Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

p/s: AMANI ditubuhkan untuk memberikan fikrah perjuangan Islam berteraskan akidah.

petikan dari Coretan Fisabilillah

Tuesday, June 8, 2010

Sukarelawan diperlukan : Program Ziarah 25-27 Jun 2010

sukarelawan AMANI bersama sahabat-sahabat dari Patani ketika Minggu Kesedaran Selamatkan Patani (1-9 Mei 2010)

Sumbangan yang dihantar untuk saudara-saudara di Patani (10 Mei 2010)


Sukarelawan AMANI ketika program Bengkel Pendidikan dan Pembangunan Jiwa Sekolah (27-28 Mei 2010)

Sukarelawan AMANI ketika bengkel Penulisan Laporan
(29 Mei 2010)

Sewaktu kami sedang bersarapan di kaki lima jalan, terpandang pemandangan peniaga sarapan di kaki lima jalan yang sedang berniaga itu.
(30 Mei 2010)

******

Inshaallah AMANI akan mengadakan ziarah ke Selatan Thailand pada 25-27 Jun 2010 ini.

Sehubungan itu kami menjemput anda untuk menyertai kami sebagai sukarelawan ke sana.

Mohon sahabat-sahabat membantu menyebarkan maklumat ini dalam kadar segera.

Masih terdapat 6 kekosongan untuk menyertai misi ziarah ini.

Jika berminat, sila hubungi 019-4737645


Objektif AMANI
1. Membangun kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap konflik Selatan Thailand.

2. Menyediakan program latihan dan pembangunan dokongan kerja kepada masyarakat Pattani.

3. Menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa konflik.


Untuk sumbangan dana, sila salurkan atas nama :
Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP),

nombor akaun Bank Islam : 7043011013136.

(sila maklumkan jumlah sumbangan kepada HOTLINE AMANI 019-4131472 selepas kemasukan sumbangan kerana akaun tersebut adalah akaun rasmi PUMPP yang turut digunakan untuk badan-badan lain di bawah PUMPP)


~...Moga dipermudahkan Allah...~

Monday, June 7, 2010

Program Ziarah 11-13 Jun 2010 ditunda



Pihak AMANI memohon maaf kepada semua pihak kerana terpaksa membatalkan ziarah pada 11-13 Jun diatas masalah teknikal.

Program ditunda ke tarikh 25-27 Jun 2010.

Moga dipermudahkan Allah.

Objektif AMANI
1. Membangun kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap konflik Selatan Thailand.
2. Menyediakan program latihan dan pembangunan dokongan kerja kepada masyarakat Pattani.
3. Menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa konflik.

Sunday, June 6, 2010

Kes tembak guru Ma’had Bi’that Ad-Diniyah Yala.

YALA,7Jun 2010 - Seorang ustaz ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali pada petang 6 Jun 2010. Arwah bernama Daramae Da’kek, 51 tahun merupakan seorang guru di Ma’had Al Falah Al Islami, juga bekas guru Ma’had Bi’that Ad-Diniyah Yala. Kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika arwah sedang menaiki motor di jalan raya di antara Kg Talingshan dan Kg Lingek, Mukim Bannangsata, Daerah Bannangsata, Yala.

Menurut saksi, terdapat sebuah kereta yang melalui jalan tersebut lalu menembak arwah. Orang kampung yang turut melalui jalan tersebut telah membawa arwah ke Hospital Bannangsata.

Arwah yang mengalami pendarahan serius akibat tembakan di bahagian leher kemudiaannya telah dirujuk ke Hospital Jala. Arwah meninggal dunia semasa pembedahan berlansung dan jenazah beliau telah dibawa pulang untuk dikebumikan.

Menurut isteri arwah, suaminya ditembak sewaktu dalam perjalanan balik daripada menziarahi anaknya yang sedang belajar di Makhad Tarbiyatulwatan Melayu Bangkok, Daerah Meang Jala. Arwah meninggalkan seorang isteri dan 7 orang anak di kediaman mereka ;133 M.6 T. Asong A.Raman Yala. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama para syuhada'.


Al-Fatihah









kes Sulaiman Naesa di youtube

Kematian Sulaiman Naesa bagaikan tragedi kematian Imam Jaafar kedua yang terpaksa menghembuskan nafas terakhirnya di dalam penjara.

Seperti mana kejadian yang berlaku kepada Imam Jaafar pihak tentera terus mengemukan kenyataan yang tidak masuk akal dengan mengatakan kematian imam jaafar akibat penyakit sawan (gila babi), begitu jugalah perkara yang sama terjadi kepada Sulaiman yang dikatakan mati di dalam penjara akibat gantung diri sampai mati.

Padahal jika dilihat pada keadaan mangsa yang tergantung dalam keadaan kakinya rapat ke lantai sangat tidak masuk akal untuk mengatakan mangsa mati akibat mengantung diri.

Ditambah pula dengan kecederaan diseluruh anggota badan mangsa yang disyaki didera (torture) oleh pihak tentera dengan teruknya.

Ini berikutan kenyataan daripada bapa mangsa menceritakan kambali peristiwa sebelum kematian Sulaiman Naesa. Ikuti rakaman video temubual bersama keluarga Sulaiman Naesa..


Part 1



Part 2

Thursday, June 3, 2010

Sukarelawan AMANI di Selatan Thailand (27-30 Mei 2010)

Sukarelawan AMAN PATTANI (AMANI)

YALA – Sukarelawan AMANI telah berjaya mengadakan program “Providing English Skills for TVM Students and Communities During di Thamwitya Mulniti School Yala” (Pondok Haji Harun) pada 27 Mei – 28 Mei 2010. Seramai 60 orang student yang terpilih telah mengikutinya dan beberapa orang guru Bahasa Inggeris Thamwitya Muniti School turut mengambil bahagian.


Semasa aktivis AMANI sampai di Yala, mereka juga berkesempatan singgah di stesen Radio Masyarakat Masjid Raudhatul Jannah, Yala. Juga dapat berbual dengan 2 orang anak muda yang menjadi pengecara radio pada petang tersebut.





Hari berikutnya, sebelah pagi tanggal 29 Mei 2010, bertempat di Pusat Pendidikan Komuniti (Yala Community Learning Center), telah diadakan bengkel penulisan laporan media yang betul dan tepat. Dalam masa yang sama juga, aktivis AMANI dibawa melawat ke stesen Nibong Radio (Radio Masyarakat) di tingkat atas bangunan tersebut. Peserta bengkel terdiri daripada beberapa orang sukarelawan NGO Hak asasi dan keamanan selatan thai. Bengkel ini dipimpin oleh Cik Nur Khalilah Rasyidah (AMANI) serta dibantu oleh beberapa orang aktivis AMANI.

Masyarakat terpelajar berbangsa melayu di Pattani sangat lemah berkomunikasi dalam bahasa melayu, lebih-lebih lagi untuk menulis laporan berita mengikut ejaan dan susunan ayat yang betul. Oleh itu mereka memerlukan bantuan dan bimbingan dari Malaysia untuk memertabatkan bahasa melayu di pattani khususnya serta serantau umumnya.


Pagi 30 Mei, sebelum aktivis AMANI pulang ke Malaysia, kami sempat mengadakan perjumpaang dengan pensyarah-pensyarah Kuliyah Syeikh Daud Patani di kawasan berhampiran Ma’had Bi’that Ad-Diniyah Yala. Ketika itu pelajar kuliyah syariah, bahasa arab dan usuluddin sedang bermula. Selepas pertemuan dengan pensyarah-pensyarah kuliyah, kami diberikan kesempatan beraksi dengan pelajar. Ustaz Kamaruddin memberikan ceramah di kuliyah syariah dan manakala saudara Al-Baraah dari Sudan menyampaikan ceramahnya dalam kuliyah Bahasa Arab.


Ketika yang sama juga pihak sukarelawan AMANI dikejutkan dengan berita kematian seorang tahanan dari Kem Ingkhayutabarihan M.Bothong D.Nongcik W.Pattani. Sukarelawan AMANI yang sedang bersiap sedia untuk pulang ke Malaysia selepas mengadakan Bengkel Pendidikan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Pondok Haji Harun, Yala telah segera bergegas ke kem tahanan tersebut.


Sulaiman Naesa, 25 tahun telah ditangkap pada 22 Mei 2010. Menurut kenalan arwah, pada jam 9 pagi 30 Mei, keluarga arwah telah menerima panggilan dari kem tahanan yang memaklumkan kematian arwah adalah disebabkan membunuh diri. Arwah dikatakan telah menggantung dirinya dengan tuala hingga mati. Pihak keluarga arwah kemudiannya segera memaklumkan hal tersebut kepada NGO tempatan untuk menjadi saksi dalam siasatan kes kematian Sulaiman.


Arwah merupakan seorang tukang rumah yang juga merupakan anak sulung dalam keluarganya. Pihak keluarga arwah telah datang ke kem tahanan pada 27 dan 28 Mei tetapi tidak dibenarkan untuk menemui Sulaiman. Pada 29 Mei pula, Sulaiman dibenarkan menemui keluarganya tetapi Sulaiman tidak bercakap apa-apa. Wajah Sulaiman kelihatan sangat letih dan ketakutan.


Keluarga Sulaiman berkata, mayat Sulaiman telah digantung di bahagian leher dengan tuala di jendela. Terdapat banyak kesan luka di seluruh badan arwah. Di bahagian leher, dada dan perut arwah pula terdapat kesan dicucuk dengan jarum. Bapa arwah meminta pihak kem tahanan memberi bukti yang kukuh berhubung kematian anaknya memandangkan tiada bukti kukuh Sulaiman mati disebabkan bunuh diri.


Kami dari sukarelawan AMANI sempat berbual dengan beberapa orang keluarga mangsa tangkapan di kawasan kem tentera di Pattani. Kebanyakan mereka ditahan, belum dibuat tuduhan apa jenis kesalahan dan keluarga mereka hanya diberi masa untuk berjumpa tahanan selama 3 minit sahaja. Waris juga tidak sempat nak bertanya apa yang dilakukan oleh pihak tentera bila melihat mangsa lebam dan cedera.

bersama aktivis kemanusiaan dan sosial luar negara
di dalam kawasan kem tentera Pattani

keluarga tahanan menanti giliran bertemu ahli keluarga yang ditahan

Tuesday, June 1, 2010

kematian abang Nurhayati (anggota HAP)

2 Jun 2010, Yala- Abang Nurhayati (anggota NGO Patani iaitu HAK ASASI DAN PERIKEMANUSIAAN - HAP) telah mati ditembak oleh orang yang tidak dikenali pada petang 1 Jun 2010.

Arwah bernama Mohd Yusuf, 35 tahun merupakan seorang penoreh getah. Kejadian berlaku pada pukul 6 petang ketika arwah sedang menaiki motor di Kg Tasik, Mukim Yukpo, Daerah Muang, Yala. Selepas mati, jenazah telah dibawa ke hospital Yala oleh anggota tentera berbaju hitam yang berada di kem tentera berhampiran tempat kejadian. Jenazah akan dikebumikan pada pukul 9 pagi 2 Jun 2010. Arwah meninggalkan dua orang isteri dan 9 orang anak. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama para syuhada'.
Al-Fatihah.

berita lanjut akan menyusul kemudian.